Gondomar: Ratusan penduduk di bandar kecil Gondomar di utara Portugal hadir memberikan penghormatan terakhir kepada bintang bola sepak Liverpool, Diogo Jota, dan adiknya, Andre Silva, yang terkorban dalam kemalangan ngeri di Sepanyol awal pagi Khamis lalu.
Upacara penghormatan berlangsung di sebuah gereja kecil di bandar asal mereka semalam dengan suasana pilu menyelubungi segenap ruang.
Sebelumnya, satu majlis peringatan tertutup turut dihadiri Perdana Menteri Portugal, Luis Montenegro, Presiden FC Porto, Andre Villas Boas, Presiden Persekutuan Bola Sepak Portugal, Pedro Proenca dan ejen lama Jota, Jorge Mendes.
“Ini saat penuh duka untuk keluarga mereka. Diogo adalah ikon kepada bakat bola sepak Portugal serta simbol perpaduan,” kata Proenca.
Di Liverpool, peminat membina ruang peringatan di luar Anfield dengan bunga, selendang dan nota tangan, termasuk daripada kanak-kanak.
Pengurus Liverpool, Arne Slot, mengungkap rasa sedih mendalam: “Kami kehilangan bukan hanya pemain, tetapi insan istimewa dalam keluarga kami. Diogo seorang rakan dan idola yang dikasihi.”
Di Gondomar, Jota dianggap wira tempatan.
Akademi bolanya yang ditubuhkan pada 2022 menjadi tempat penduduk meletakkan lilin, bunga dan jersi pasukan kebangsaan serta kelab-kelab yang pernah diwakilinya.
Jota mula bermain bola sepak di Gondomar Football Club selama 10 tahun semasa kecil, dan di sekolah menengah di bandar itulah beliau bertemu isterinya, Rute Cardoso.
Pasangan itu mula bercinta sejak berumur 15 tahun, dan berpindah ke Madrid bersama ketika Jota disambar Atletico pada usia 19 tahun.
Menurut ahli fisioterapinya, Miguel Goncalves, Jota sedang dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan paru-paru akibat retak tulang rusuk.
Atas nasihat perubatan untuk tidak menaiki kapal terbang selama enam minggu, Jota memilih untuk kembali ke Liverpool melalui jalan darat dan feri.
“Beliau pulih dengan baik. Kami semua tidak menyangka ini akan berlaku,” kata Goncalves dalam wawancara dengan stesen Now.
Kisah tragik ini bukan sahaja meragut dua nyawa muda berbakat, malah meninggalkan luka mendalam buat komuniti bola sepak dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd