Ratusan penunjuk perasaan rampasan kuasa dibebas dari penjara Myanmar

Seorang penunjuk perasaan menunjukkan tanda hormat tiga jari ketika menaiki sebuah bas keluar dari Penjara Insein di Yangon hari ini. (Gambar AP)

YANGON: Ratusan tahanan, yang ditahan kerana menyertai bantahan rampasan kuasa tentera di Myanmar bulan lalu, dibebaskan dari sebuah penjara di Yangon pada Rabu, lapor saksi dan media tempatan.

Beberapa bas yang dipenuhi tahanan keluar dari Penjara Insein pagi tadi, kata saksi, yang termasuk peguam untuk beberapa tahanan.

Tiada kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa mengenai jumlah tahanan yang dibebaskan. Jurucakap tentera juga tidak menjawab panggilan.

“Semua yang dibebaskan ialah mereka yang ditahan kerana protes, begitu juga individu yang ditahan pada waktu malam atau keluar membeli barang,” kata ahli kumpulan penasihat guaman yang melihat bas keluar dari penjara.

Kumpulan aktivis, Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik berkata, sekurang-kurangnya 2,000 orang ditahan dalam serbuan tentera ke atas bantahan rampasan kuasa pada 1 Feb lalu.