GAZA: Ribuan penduduk Gaza melarikan diri untuk mencari perlindungan dalam antara perpindahan terbesar zaman perang apabila tentera rejim Zionis Israel mara ke runtuhan bandar Rafah untuk mewujudkan sebahagian daripada “zon keselamatan” baharu.
Sehari selepas mengisytiharkan hasrat untuk menawan sebahagian besar kawasan sesak itu, tentera Israel menceroboh bandar pinggir selatan Gaza yang telah menjadi tempat perlindungan terakhir bagi mereka yang melarikan diri dari kawasan peperangan lain.
Pihak berkuasa kesihatan Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 97 orang terbunuh dalam serangan Israel sepanjang tempoh 24 jam yang lalu.
Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dalam serangan udara ketika waktu subuh di Shejaia, pinggir bandar Gaza di utara.
Semalam, serangan udara Israel membunuh sekurang-kurangnya 27 rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak dalam bangunan sekolah yang menjadi tempat perlindungan keluarga yang kehilangan tempat tinggal di Gaza City.
Tentera rejim Zionis pula dalam skrip biasa seperti sebelum ini memberi alasan serangan itu menyasarkan “pengganas” Palestin.
Pakar perubatan berkata, tiga peluru berpandu menhujani bangunan sekolah Dar Al-Arqam di kejiranan Tuffah di Bandar Gaza.
Rafah telah hilang dan sedang dihapuskan kata seorang bapa kepada tujuh anak, antara ratusan ribu penduduk yang melarikan diri dari Rafah ke Khan Younis.
“Mereka merobohkan rumah dan harta benda yang tinggal,” kata lelaki itu yang enggan identitinya dikenali.
Serangan untuk menawan Rafah adalah peralihan besar dalam perang yang dimulakan semula Israel bulan lalu selepas melanggar gencatan senjata sejak Januari lalu.
Di Shejaia di utara, antara daerah yang tentera Israel menghalau penduduk, ratusan penduduk berpusu-pusu keluar semalam, membawa membawa barang-barang yang mampu dibawa dengan berjalan, menaiki kereta, keldai dan basikal serta van. – HARAKAHDAILY 4/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!








