Rawatan 7 minit saja, menunggu 2 jam

Rawatan 7 minit saja, menunggu 2 jam

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Penduduk Gelang Patah berharap infrastruktur dan kemudahan di Klinik Kesihatan Gelang Patah dapat dinaik taraf dan dibaik pulih dalam kadar segera untuk keselesaan rakyat.

Pekerja Restoran, Mohamad Helmi Mohd Fobillah, 24, yang baru pertama kali mendapatkan perkhidmatan pergigian di klinik terbabit berkata, kapasiti pesakit yang mendapatkan rawatan juga ramai terutama pada waktu pagi.

Katanya, dia terpaksa menunggu kira-kira dua jam sebelum mendapatkan rawatan dalam keadaan kurang selesa.

“Saya datang jam 9.30 pagi dan nombor dipanggil pada jam 11.30 pagi. Rawatan sekejap saja dalam tujuh minit.

“Orang memang ramai, ada yang datang lebih awal. Rawatan dan layanan jururawat dan doktor sangat memuaskan tetapi infrastruktur seperti ruang menunggu dan pendingin hawa perlu dinaik taraf lagi.

“Ketika ini bilik untuk rawatan gigi ada dua sahaja, mungkin kalau ada tambahan masa menunggu boleh jadi lebih pendek,” katanya ketika ditemui selepas mendapatkan rawatan di luar perkarangan Klinik Kesihatan Gelang Patah di sini, hari ini.

Tinjauan turut mendapati deretan kereta dan motosikal orang ramai yang datang mendapatkan rawatan juga diletakkan di luar perkarangan klinik di Jalan Besar Taman Nusa Printis.

Suri rumah, Bushro Ahmad, 32 ,berkata ruang klinik perlu diperbesarkan untuk keselesaan pesakit yang mana rata-ratanya adalah warga emas, ibu mengandung dan ibu baru bersalin.

“Hari ini saya dan bayi buat pemeriksaan kesihatan hari ke 12 kelahiran, selalunya dalam sejam sudah siap tetapi hari ini ramai jadi dekat dua jam juga untuk selesai pemeriksaan.

“Walaupun lama menunggu, layanan jururawat dan doktor sini amat baik, tak pernah marah. Jadi kami yang menunggu pun tak rasa tertekan,” katanya.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan sedih dan kecewa melihat keadaan Klinik Kesihatan Gelang Patah yang sangat daif.

Difahamkan purata harian pelawat ke Klinik Kesihatan Gelang Patah berjumlah lebih 800 orang pesakit dan ia tidak mampu menampung populasi hampir 100,000 penduduk di kawasan Iskandar Puteri yang semakin berkembang maju.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top