Raya anak perantau di Australia

Raya anak perantau di Australia

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Biarpun berjauhan dengan keluarga di tanah air, pasangan ini tetap meraikan kemeriahan Aidilfitri dengan menganjurkan rumah terbuka pada 1 Syawal, kelmarin buat anak perantau Malaysia di Australia.

Rumah terbuka anjuran Mohd Zaidi Mohd, 56, dan isteri, Noor Lida Adnan, 57, itu menerima kunjungan kira-kira 200 tetamu terdiri daripada rakan, penuntut dan rakyat Malaysia yang mencari rezeki di Australia.

Menurut Mohd Zaidi, dia bersyukur kerana berpeluang menganjurkan lagi rumah terbuka pada tahun ini.

Katanya, kemeriahan tetap terasa kerana sebahagian tetamu yang datang turut sama membantu isterinya menyediakan juadah selain bersama dalam melaungkan takbir pada malam raya.

“Anggaran dalam 50 keluarga datang ke rumah kami pada tahun ini dan pada malam raya, saya dengan isteri sempat adakan jamuan berbuka puasa diikuti takbir raya sebelum rewang menyiapkan juadah.

“Majlis berjalan lancar dan meriah malah ada yang pertama kali datang tapi teruja dengan sambutan rumah terbuka di kediaman saya.

“Kata mereka, datang ke rumah saya ibarat sambut raya di rumah emak ayah. Sebagai tuan rumah, saya dan isteri tentunya gembira kerana dapat kumpulkan anak perantau Malaysia di rumah kami,” katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, isterinya, Noor Lida juga berbesar hati kerana dapat menganjurkan lagi rumah terbuka yang sudah menjadi tradisi tahunan keluarganya.

Menurut Noor Lida, kedatangan tetamu ke rumahnya adalah satu rahmat dan mengubat kerinduannya terhadap keluarga di tanah air selepas 14 tahun berhijrah ke Australia.

“Mereka (tetamu) sudah kami anggap macam keluarga jadi memang seronok setiap kali menyambut kedatangan mereka.

“Walaupun rata-ratanya tetamu sama yang datang pada tahun sebelum ini, rumah saya tetap gamat hingga tak terasa beraya di perantauan.

“Penuntut yang datang pun ibarat anak saya dan terubat kerinduan saya terhadap keluarga walaupun terkesan juga mengenangkan emak dengan ayah yang sudah tiada,” katanya yang bekerja sebagai cef sebuah hotel lima bintang dekat Sydney, Australia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top