Pelakon, Amyza Aznan tidak menafikan sambutan Aidilfitri tahun ini cukup berbeza selepas pemergian anak sulungnya, Andre Mikhail yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada hujung Februari lalu.
Ketika ditemui XTRA, Amyza bagaimanapun berkata, sambutan Syawal tetap diraikan secara sederhana bersama keluarga dan kenalan terdekat.
“Betul, tahun ini raya kami memang berbeza. Kami tetap beraya seperti biasa, cuma perasaan sedih itu tetap ada.
“Namun, ahli keluarga dan rakan-rakan yang datang menziarah, kita sambut dengan sebaiknya walaupun dalam suasana sederhana,” katanya.
Menurut Amyza, bagi mengisi rasa rindu terhadap arwah, dia merancang untuk mengadakan majlis tahlil pada malam raya pertama.
“Rasa kehilangan itu memang tiba-tiba. Jadi, pada malam raya pertama saya bercadang untuk buat tahlil.
“Insya-Allah bermula petang hingga malam. Itu sahaja perancangan kami untuk raya kali ini,” katanya.
Amyza berkata demikian ketika ditemui di rakaman Melodi Raya, baru-baru ini.
Mengimbau kenangan bersama arwah Andre, Amyza berkata anaknya itu seorang yang ceria dan gemar menyanyi, terutama pada hari raya.
“Kenangan bersama arwah terlalu manis. Antaranya, kami suka dengar dia menyanyi pada hari raya.
“Apa sahaja yang saya masak seperti kari ayam tua, rendang ayam tua dan pulut, semuanya dia suka,” katanya.

Sementara itu, anak keduanya, Adrian Adam mengakui akan merindui rutin pagi raya bersama abangnya.
“Memang rindu. Setiap pagi raya, abang akan tolong pasangkan butang baju, pakaikan samping dan gosokkan baju saya.
“Momen-momen itu yang saya akan paling rindu,” katanya yang kini turut berdepan ujian kanser tulang.

Dalam pada itu, Amyza berkongsi, arwah Andre dan Adrian sebenarnya sudah membuat persiapan raya lebih awal tahun ini, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Mereka sudah beli empat pasang baju raya seminggu sebelum puasa dan siap merancang untuk dipakai hingga hari raya keempat.
“Tak pernah berlaku sebelum ini mereka beli awal. Warna pilihan pula kuning, coklat gelap, hitam dan putih. Dia memang sangat teruja,” katanya.




