Pelakon, Puteri Aishah mengakui sambutan Aidilfitri tahun ini tidak lagi sama selepas pemergian ibu tercinta, Norita Sulaiman, pada Januari lalu.
Menurut Puteri, detik kehilangan itu masih segar dalam ingatan apabila dia tidak sempat berada di sisi ibunya pada saat akhir.
“Dalam perjalanan nak balik jumpa mama… dia dah tiada,” katanya sayu.
Arwah sebelum ini bertarung hampir 10 tahun dengan kanser rahim sebelum keadaan kesihatan semakin merosot sejak Disember lalu apabila penyakit itu merebak ke hati.
Puteri berkata, ketika ibunya berada dalam keadaan kritikal, dia sedang menjalani penggambaran namun memilih untuk menyelesaikan komitmen kerja terlebih dahulu.
Namun, sebaik sahaja dia dalam perjalanan pulang, ibunya telah menghembuskan nafas terakhir.
Berkongsi mengenai Aidilfitri, Puteri mengakui tahun ini disambut dalam suasana sederhana tanpa persiapan seperti kebiasaannya.
“Raya tetap raya… tapi tahun ini biasa-biasa saja,” ujarnya ringkas.
Dia dijangka menyambut Syawal bersama keluarga mentua di Kuala Lumpur sebelum pulang ke Negeri Sembilan untuk menziarahi pusara arwah ibunya.
Puteri berkata dia mahu meluangkan masa bersama adiknya bagi mengisi kekosongan menyambut Aidilfitri pertama tanpa ibu.
Dalam pada itu, suaminya, Muhammad Firdaus turut merasai kehilangan tersebut kerana hubungan rapat dengan arwah ibu mentuanya.
“Kalau saya sedih, suami pun sama… kami sama-sama rasa kehilangan,” katanya.




