Rayuan 23 pemilik rumah teres Kampung Sungai Baru ketepikan keputusan kosongkan kediaman ditolak

Rayuan 23 pemilik rumah teres Kampung Sungai Baru ketepikan keputusan kosongkan kediaman ditolak

ajohari@bh.com.my

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak rayuan 23 penduduk Kampung Sungai Baru, berhubung permohonan mereka untuk menangguhkan pelaksanaan

perintah pengosongan kediaman masing-masing.

Peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad yang mewakili penduduk terdiri daripada pemilik rumah teres ketika ditemui pemberita berkata, Hakim Mahkamah Tinggi Su Tiang Joo menolak rayuan pihaknya dengan kos sebanyak RM10,000, melalui prosiding dijalankan dalam kamar.

Rosal Azimin berkata, hakim membuat keputusan menolak rayuan anak guamnya dengan alasan pelaksanaan terhadap milikan kosong telah dijalankan.

“Tetapi kita diberikan peluang untuk menulis surat kepada peguam pemaju bagi dibenarkan masuk ke dalam rumah untuk mengambil barang-barang yang masih ada dalam rumah.

“Ada tempoh masa untuk kita failkan rayuan, jadi kita akan kita akan failkan dalam tempoh yang dibenarkan undang-undang, dalam tempoh 30 hari,” katanya.

Rosal Azimin berkata demikian pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur (KMKL) selepas prosiding berkenaan.

Dalam notis rayuan terbabit, pemilik kediaman berkenaan merayu keputusan Penolong Kanan Pendaftar Qasiratul Jannah Usmani Othman yang menolak permohonan mereka bagi menggantung writ milikan kosong yang dikeluarkan pada 4 Jun lalu dan pelaksanaan writ terbabit pada 15 Julai lalu.

Penduduk yang bertindak selaku perayu menamakan syarikat pemaju, KL City Getaway sebagai responden dalam rayuan itu.

Pada 15 September lalu, polis bersama pelbagai agensi penguat kuasa melaksanakan writ milikan kosong terhadap 26 hak milik individu merangkumi 37 unit rumah teres di Kampung Sungai Baru, di sini.

Tindakan itu dilaksanakan selepas melalui beberapa proses perolehan yang ditetapkan dan perintah pengosongan dikeluarkan mahkamah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top