Razman kemuka permohonan maaf terhadap Nga Kor Ming

Razman kemuka permohonan maaf terhadap Nga Kor Ming

am@hmetro.com.my

Ipoh: Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria tampil memohon maaf secara terbuka kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berhubung isu perhimpunan di Menara Condong Teluk Intan yang berlangsung pada Oktober lalu.

Razman menerusi kenyataan, berkata pihaknya mengakui kenyataan media oleh PAS Perak bertarikh 25 Oktober 2024 yang disiarkan melalui Facebook PAS Perak dibuat berdasarkan kekeliruan sumber maklumat berkaitan dua program berbeza.

Menurutnya, hasil penelitian pihaknya mendapati Nga tidak berada dalam program perarakan yang mencetuskan kontroversi itu.

“Sebagai imbalan siaran media itu sudah ditarik kembali bagi memenuhi syarat permohonan maaf yang ditawarkan oleh Nga.

“Siaran media terbabit dibuat berdasarkan kekeliruan sumber maklumat berkaitan dua program berbeza.

“Ia program yang dirasmikan oleh Nga pada 13 September manakala satu lagi pada 24 Oktober yang membabitkan insiden kibaran bendera negara China.

“Sehubungan itu, saya perturunkan pernyataan seperti yang dituntut dan disediakan oleh pihak Nga sebagai tanda permohonan maaf dan kekesalan atas kenyataan media yang terhasil dari kekeliruan maklumat yang diterima,” kata Razman menerusi kenyataan disiarkan menerusi Facebook (FB) PAS Perak, hari ini.

Beliau mengaku bahawa dakwaan yang dikemukakan adalah tidak benar dan tidak berasas.

“Saya meminta maaf tanpa apa-apa rizab kepada Nga untuk segala penderitaan dan rasa malu yang diakibatkan kepadanya disebabkan dakwaan ini,” katanya.

Razman dengan itu berkata, beliau sudah menurunkan kenyataan media terbabit dan memberi aku janji tidak akan membuat apa-apa dakwaan yang serupa atau yang bersifat sama terhadap Nga.

Sebelum ini, media melaporkan Nga mahu mengambil tindakan sivil terhadap Razman yang didakwa memfitnahnya berkait perarakan yang tular dengan insiden kibar bendera China di Dataran Menara Condong Teluk Intan, Oktober lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top