RCI TH: Iktibar tentang amanah, tadbir urus dan masa depan institusi Islam

RCI TH: Iktibar tentang amanah, tadbir urus dan masa depan institusi Islam

TABUNG Haji (TH) ditubuhkan sebagai sebuah institusi suci dengan amanah membantu umat Islam di negara ini dapat menunaikan rukun Islam kelima dengan mudah dan lancar. Dan selama kewujudannya ia menjadi kebanggaan masyarakat Islam di negara ini. Tempat di mana orang yang berpendapatan rendah dan sederhana menabung sen demi sen, ringgit demi ringgit. Motif mereka bukan untuk mendapat untung. Tetapi cukup sekadar dapat menunaikan kewajipan agama. Daripada setiap sen dan ringgit dana awam itulah, TH kini memiliki dana hampir RM95 bilion, daripada kira-kira 9.6 juta pendeposit.

Disebabkan pengurusan yang cekap dan pelaburan yang bijak, TH turut berjaya menarik orang kaya untuk menyimpan kerana dividen dan bonusnya yang jauh lebih baik daripada institusi kewangan lain.

Seperti biasa, apabila sesuatu tempat itu penuh dengan madu, sudah tentu ia menarik perhatian bermacam jenis serangga. Hal yang sama berlaku pada TH. Dana yang banyak sentiasa menarik pihak-pihak tidak bertanggungjawab untuk memanipulasi demi kepentingan mereka.

Akhirnya ia membawa kepada penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang boleh dianggap sebagai detik pahit dalam sejarah pentadbiran institusi Islam itu. Ada yang melihat RCI itu sebagai usaha menyiasat salah laku tatakelola dan penyelewengan bagi menghukum individu tertentu. Namun, kena juga tengok bahawa RCI itu juga adalah medan untuk menilai semula kekuatan serta kelemahan sistem tadbir urus institusi yang menguruskan amanah hampir 10 juta pendeposit itu.

Tabung Haji bukan institusi kewangan biasa. Sejak penubuhannya pada tahun 1963, ia menjadi simbol kejayaan umat Islam Malaysia menggabungkan ibadah dan pelaburan dalam satu ekosistem yang unik.

Pendeposit daripada pelbagai lapisan sosial percayakan simpanan mereka bukan hanya untuk memperoleh pulangan, tetapi bagi memenuhi impian menunaikan ibadah haji. Oleh sebab itu, setiap keputusan yang dibuat oleh pengurusannya mempunyai implikasi yang jauh lebih besar daripada keuntungan kewangan semata-mata.

RCI memberi peluang kepada negara memahami bagaimana sesuatu institusi yang mempunyai reputasi tinggi boleh berdepan pelbagai kontroversi. Lebih penting, ia membuka ruang untuk memperkukuhkan semula keyakinan rakyat terhadap institusi awam.

Iktibar pertama adalah pentingnya tadbir urus atau tatakelola yang baik. Mana-mana organisasi yang menguruskan dana awam mesti mempunyai sistem semak dan imbang yang berkesan. Lembaga pengarah perlu benar-benar berfungsi sebagai badan yang mengawasi pengurusan, bukannya sekadar meluluskan cadangan. Jawatankuasa audit, pengurusan risiko dan pelaburan juga mesti diberi kebebasan menjalankan tanggungjawab tanpa sebarang campur tangan yang boleh menjejaskan integriti keputusan.

Dalam dunia kewangan moden, tadbir urus bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan. Institusi yang menguruskan berbilion ringgit wang rakyat tidak boleh bergantung kepada kepercayaan semata-mata. Kepercayaan mesti disokong oleh sistem, proses dan akauntabiliti yang kukuh.

Iktibar kedua adalah perlunya ketelusan dalam membuat keputusan pelaburan. Sebarang pelaburan berisiko tinggi perlu dinilai secara profesional berdasarkan analisis pasaran, potensi pulangan dan tahap risiko. Keputusan tidak boleh dipengaruhi oleh faktor politik, hubungan peribadi atau kepentingan luar.

Ketelusan juga bermaksud pendeposit berhak mengetahui keadaan sebenar kewangan institusi. Walaupun tidak semua maklumat boleh didedahkan atas faktor komersial, prinsip keterbukaan perlu menjadi budaya organisasi. Laporan tahunan, prestasi pelaburan dan rasional sesuatu keputusan besar hendaklah diterangkan secara jelas agar keyakinan masyarakat terus terpelihara.

Iktibar ketiga adalah pemisahan yang jelas antara pentadbiran profesional dan pengaruh politik. Semua institusi milik kerajaan sememangnya beroperasi dalam kerangka dasar kerajaan. Namun begitu, pengurusan harian, strategi pelaburan dan keputusan perniagaan perlu dibuat oleh mereka yang profesional yang mempunyai kepakaran dan bertanggungjawab terhadap prestasi organisasi.

Campur tangan yang melampau boleh mengganggu proses membuat keputusan yang objektif. Ia juga berpotensi meningkatkan risiko kerugian sekiranya pertimbangan komersial diketepikan demi memenuhi kepentingan lain.

RCI ini mengingatkan bahawa budaya akauntabiliti perlu diperkasakan. Setiap pemegang amanah perlu memahami bahawa mereka bertanggungjawab terhadap setiap keputusan yang dibuat. Prinsip ini penting kerana wang yang diuruskan bukan milik individu, tetapi hasil titik peluh berjuta-juta rakyat.

Akauntabiliti bukan hanya bermaksud mencari siapa yang bersalah apabila berlaku masalah. Lebih penting adalah mewujudkan budaya mencegah sebelum parah. Setiap keputusan direkodkan, disemak dan boleh dipertanggungjawabkan pada bila-bila masa. Dengan cara ini, risiko penyalahgunaan kuasa dapat dikurangkan.

Satu lagi iktibar penting adalah keperluan memperkukuhkan institusi, bukannya bergantung kepada individu. Sebaik mana sekalipun seseorang pemimpin, sistem yang kukuh tetap lebih penting daripada kebergantungan kepada personaliti tertentu. Apabila institusi dibina atas asas peraturan, integriti dan profesionalisme, pertukaran kepimpinan tidak akan menjejaskan kestabilan organisasi.

Dalam konteks ini, pelantikan ahli lembaga pengarah, pengurusan kanan dan jawatankuasa pelaburan perlu dibuat berdasarkan merit, pengalaman dan integriti yang tinggi. Mereka yang terpalit dengan apa juga isu atau kelihatan tidak bersih tidak layak diberi tempat dalam institusi suci ini.

Seperkara penting adalah sejauh mana syor-syor yang dikemukakan RCI diterjemahkan kepada tindakan. Banyak suruhanjaya sebelum ini menghasilkan cadangan yang baik, tetapi impaknya bergantung kepada kesungguhan kerajaan dan pihak berkepentingan melaksanakannya. Jangan seperti mencurah air ke daun keladi.

Sekiranya syor RCI dilaksanakan secara menyeluruh, ia bukan sahaja mampu memperkukuhkan TH, malah boleh dijadikan model penambahbaikan bagi institusi awam lain yang menguruskan dana rakyat.

Iktibar terbesar daripada RCI TH yang menjadi bualan dan perbincangan di seluruh negara adalah amanah. Amanah adalah aset yang paling bernilai bagi mana-mana institusi terutama yang berteraskan Islam seperti TH.

Wang yang hilang mungkin boleh dipulihkan melalui keuntungan pelaburan, tetapi kepercayaan yang terhakis memerlukan masa yang jauh lebih lama untuk dibina semula dan sudah pasti turut mencemarkan imej Islam.

Tabung Haji telah memainkan peranan besar dalam kehidupan umat Islam Malaysia selama lebih enam dekad. Institusi ini perlu terus diperkasakan agar kekal menjadi kebanggaan negara. RCI tidak seharusnya dilihat sebagai medan mencari kesalahan semata-mata. Sebaliknya sebagai peluang melakukan pembaharuan menyeluruh demi memastikan institusi yang menguruskan amanah rakyat sentiasa berpegang kepada prinsip integriti, profesionalisme, ketelusan dan akauntabiliti.

Jika semua pihak benar-benar mengambil iktibar daripada episod duka ini, maka RCI TH akan dikenang bukan kerana kontroversinya, tetapi kerana kejayaannya menjadi titik perubahan ke arah pembinaan institusi awam yang lebih berwibawa, berintegriti dan diyakini oleh generasi akan datang.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Scroll to Top