Madrid: Real Madrid dan Barcelona bakal turun ke medan El Clasico yang dinanti-nantikan hujung minggu ini dengan kedua-dua pasukan dibelenggu krisis kecederaan yang serius, ketika jurulatih Real, Xabi Alonso, masih mencari ramuan terbaik untuk pasukannya.
Bekas pemain tengah Real itu bakal mengendalikan El Clasico pertamanya selepas mengambil alih tugas daripada Carlo Ancelotti, yang meninggalkan Santiago Bernabeu pada Mei lalu bagi membimbing skuad kebangsaan Brazil.
Musim terakhir Ancelotti bersama Real menyaksikan Barcelona mendominasi sepenuhnya, menang empat kali daripada empat pertemuan termasuk menjaringkan 16 gol ketika merangkul gelaran LaLiga, Copa del Rey dan Piala Super Sepanyol, manakala Real menamatkan kempen tanpa sebarang kejuaraan.
Alonso kini berdepan tekanan untuk membuktikan pendekatan taktikalnya berkesan selepas beberapa keputusan hambar, termasuk kekalahan kepada Paris Saint Germain dalam separuh akhir Piala Dunia Kelab serta tunduk kepada Atletico Madrid dalam saingan LaLiga.
Walaupun sistemnya menjanjikan corak menyerang menarik, Real kerap kelihatan longgar ketika diserang balas, memaksa penjaga gol utama Thibaut Courtois bekerja keras menyelamatkan gawang dalam situasi genting.
Bintang England, Jude Bellingham, yang baru pulih daripada pembedahan bahu, masih mencari rentak sebenar.
Dalam aksi pertamanya menentang Atletico, dia bergelut untuk menyesuaikan diri, namun kembali menyinar apabila meledak gol tunggal kemenangan ke atas Juventus dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) awal minggu ini.
Bahagian serangan Real kekal menjadi sandaran utama dengan Kylian Mbappe dan Vinicius Jr terus berbisa, manakala pemain muda Turkiye, Arda Guler, mencuri tumpuan dengan prestasi menakjubkan.
Los Blancos kini menerajui carta LaLiga dengan 24 mata, dua mata di depan musuh tradisi mereka.
Barcelona pula tampak kehilangan sentuhan selepas musim gemilang mereka tahun lalu.
Biarpun jurulatih Hansi Flick membawa pasukan itu hampir ke final UCL buat kali pertama dalam tempoh sedekad, prestasi semasa menimbulkan kebimbangan.
Mereka hanya menang tipis ke atas Girona minggu lalu hasil jaringan masa tambahan Ronald Araujo, sekali gus mengelak tiga perlawanan tanpa kemenangan.
Dalam aksi UCL menentang Olympiacos pula, Barca hanya mula menguasai permainan selepas lawan kehilangan seorang pemain akibat kad merah, sebelum menang besar 6-1.
Krisis kecederaan di kem Barcelona kini di tahap membimbangkan dengan 10 pemain utama terpaksa direhatkan sejak Ogos lalu, termasuk Dani Olmo, Robert Lewandowski, Gavi, serta dua penjaga gol Joan Garcia dan Marc-Andre ter Stegen.
Bintang muda Lamine Yamal, yang menduduki tempat kedua undian Ballon d’Or, turut berdepan masalah kecergasan akibat kecederaan pangkal paha dan dilaporkan berdepan isu disiplin di luar padang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




