Real Madrid mohon maaf berhubung kenyataan Mbappe mengenai meme internet kontroversi

Real Madrid mohon maaf berhubung kenyataan Mbappe mengenai meme internet kontroversi

REAL Madrid mengeluarkan permohonan maaf selepas Kylian Mbappe membuat kenyataan mengenai meme Internet kontroversi dan kehilangan beberapa tawaran kerjasama jenama di China, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

“Real Madrid CF ingin menyampaikan permohonan maaf kepada rakyat China atas sebarang rasa tidak senang yang mungkin timbul susulan kenyataan terbaharu pemain kami, Kylian Mbappe,” menurut kelab itu dalam satu kenyataan pada Rabu.

“Kelab kami amat menghormati China, sejarah, budaya dan rakyatnya, serta jutaan peminat China yang menyayangi dan mengagumi Real Madrid.”

“Kelab ini turut menyertai permohonan maaf secara terbuka yang disampaikan oleh Kylian Mbappe, yang menyatakan kekesalannya sendiri atas kenyataan itu dan menegaskan semula rasa hormatnya terhadap rakyat China.”

Kenyataan Madrid itu dibuat susulan laporan bahawa penyiar kerajaan China, CCTV, tidak lagi akan menyiarkan perlawanan La Liga Sepanyol.

Akhbar Marca melaporkan bahawa CCTV mengesahkan pihaknya menerima surat daripada Presiden La Liga Javier Tebas dan pihak lain yang terlibat. Bagaimanapun, penyiar itu menuntut permohonan maaf daripada Madrid sebagai syarat untuk meneruskan rundingan.

Beberapa syarikat di China sedang menamatkan kerjasama dengan Mbappe, yang turut menerima kritikan hebat selepas sebuah video tular di Internet memaparkan beliau ditanya mengenai meme kegemarannya yang menampilkan dirinya sendiri.

Beliau kemudian menyebut satu meme yang wajahnya disunting dan diletakkan pada wajah “seorang lelaki saya rasa dia seorang diktator China”.

Terdapat meme Internet yang memaparkan wajah Mbappe disunting pada imej Mao Zedong, pemimpin revolusi China. Sebagai seorang daripada pengasas Republik Rakyat China, Mao dipandang tinggi di negara itu.

Kandungan yang mengkritik pemimpin politik China lazimnya dikenakan penapisan ketat di negara berkenaan.

Mbappe memohon maaf atas kenyataannya pada Selasa: “Saya memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung dengan kata-kata saya. Itu sama sekali bukan niat saya. Saya amat menghormati rakyat China dan sejarah mereka dan saya benar-benar kesal.” – Bernama

 

 

 

 

Scroll to Top