Real Madrid 'pecat' Alonso

Real Madrid 'pecat' Alonso

Madrid: Real Madrid mengumumkan jurulatih mereka, Xabi Alonso meninggalkan kelab gergasi Sepanyol itu menerusi persetujuan bersama dan akan digantikan oleh Alvaro Arbeloa.

Keputusan itu dibuat sehari selepas kekalahan Real Madrid kepada Barcelona dalam perlawanan akhir Piala Super Sepanyol. Alonso, yang hanya mengemudi pasukan kurang daripada lapan bulan, ditamatkan tugasnya dan bekas pemain Madrid, Arbeloa yang sebelum ini melatih pasukan simpanan, dilantik serta-merta.

“Real Madrid mengumumkan melalui persetujuan bersama antara kelab dan Xabi Alonso, telah diputuskan untuk menamatkan tempohnya sebagai jurulatih pasukan utama,” kata kelab itu dalam satu kenyataan, awal pagi tadi.

Dalam kenyataan berasingan, Madrid mengesahkan Arbeloa mengambil alih tugas Alonso, tanpa memperincikan tempoh kontrak jurulatih berusia 42 tahun itu.

“Arbeloa telah menjadi jurulatih Castilla sejak Jun 2025 dan membina keseluruhan kerjaya kejurulatihannya dalam akademi Real Madrid sejak 2020,” menurut kenyataan Los Blancos.

Perlawanan pertama Arbeloa sebagai ketua jurulatih ialah aksi pusingan 16 Copa del Rey menentang pasukan divisyen dua, Albacete, pada awal pagi Khamis ini.

Alonso menyertai Madrid pada Jun lalu menggantikan Carlo Ancelotti, namun kelab bergelut untuk mengekalkan konsistensi di bawah kendalian jurulatih dari Basque itu. Madrid kini berada di tangga kedua La Liga, ketinggalan empat mata di belakang Barcelona.

Kekalahan 2-3 kepada pasukan kendalian Hansi Flick dalam perlawanan akhir Piala Super Sepanyol di Arab Saudi pada Ahad menjadi perlawanan terakhir Alonso bersama Madrid.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top