Guingamp: Carlo Ancelotti akui Real Madrid semakin menunjukkan peningkatan namun masih belum berada pada prestasi terbaik ketika anak buahnya bakal turun menentang Brest dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah.
Penyandang juara Eropah itu ketika ini perlu menang ke atas kelab Perancis itu bagi memastikan layak ke pusingan 16 terbaik kejohanan sekali gus berpeluang mengekalkan kejuaraan dimenangi musim lalu itu.
Prestasi Real dalam saingan domestik agak goyah namun sejak 10 aksi lalu menyaksikan skuad kendalian Ancelotti melakar sembilan kemenangan dalam semua pertandingan diharungi.
“Saya fikir pasukan semakin meningkat tetapi masih belum menunjukkan prestasi terbaik mereka, walaupun kami semakin hampir,” kata Ancelotti pada sidang media pra perlawanan.
“Idea dan visi cukup jelas, saya fikir semua pemain faham dan jelas dengan apa yang kami mahukan. Kami meningkat secara kolektif, malah secara individu juga.
“Pemain-pemain juga semakin serasi babitkan Kylian Mbappe, Rodrygo (Goes) dan (Jude) Bellingham serta semua pemain lain. Mereka semua telah bekerja keras.
“Mbappe bermain dengan sangat baik. Saya fikir dia hanya memerlukan sedikit masa untuk meningkatkan prestasi lagi dan menyesuaikan diri dengan persekitaran baharunya.
“Kini kami memanfaatkan sepenuhnya kehadiran Mbappe bersama kami dan kualiti yang dia ada untuk membanti pasukan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



