DALAM kesibukan mengejar urusan dunia, ada masanya kita terlupa bahawa keuntungan yang paling bernilai bukanlah wang berjuta, tetapi pahala yang berkekalan di akhirat.
Menariknya, ganjaran pahala yang luar biasa sebenarnya boleh diraih hanya dalam masa kurang daripada satu minit melalui amalan yang sangat mudah.
Pendakwah, Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Salman mendedahkan tiga amalan yang memberi pulangan pahala yang luar biasa.

PU SALMAN
Malah, ada yang boleh mencecah jutaan, bahkan sehingga berbilion ganjaran.
âKalau Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman (ahli perniagaan) boleh raih jualan RM1 juta dalam masa dua minit, saya nak kongsikan tiga amalan yang jika diamalkan seminit atau kurang pun, tapi (ganjaran pahalanya) dapat sejuta atau lebih,â jelas beliau dalam satu video di akaun TikTok miliknya pada Isnin.
Menurut penceramah itu, kejayaan di dunia seperti pencapaian jualan tinggi sememangnya sesuatu yang membanggakan, namun umat Islam perlu sedar bahawa ada amalan akhirat yang lebih besar nilainya kerana ganjarannya kekal abadi.
Berikut perkongsikan beliau tentang tiga amalan yang begitu besar imbalannya:
1. Doa ketika masuk pasar
PU Salman menjelaskan bahawa amalan pertama disebut dalam hadis yang disahihkan oleh sebahagian ulama adalah zikir pendek yang dianjurkan dibaca ketika memasuki pasar.

JIKA memasuki pasar, bacalah âLa ilaha illallah wahdahu la syarikalah, lahul mulku wa lahul hamdu yuhyi wa yumit, wa hayyun la yamut biyadihil khairu wa âala kulli syaiâin qadirâ kerana banyak ganjaran pahala yang menanti. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
Hadis itu menyebut, sesiapa yang masuk pasar, lalu diucapkan âLa ilaha illallah wahdahu la syarikalah, lahul mulku wa lahul hamdu yuhyi wa yumit, wa hayyun la yamut biyadihil khairu wa âala kulli syaiâin qadirâ, dicatatkan pahala sejuta, dihapuskan dosa sejuta dan diangkatkan darjat sejuta.
Doa itu sangat mudah dihafal dan diamalkan, namun impaknya besar dari segi ganjaran akhirat.
2. Zikir La ilaha illallah wahdan ahadan somada lam yattakhiz sohihbatan wala walada, wa lam yakun lahu kufuwan ahad sebanyak 10 kali
Amalan kedua pula adalah zikir sepertimana diriwayatkan dalam hadis riwayat Imam Ahmad iaitu:
âSesiapa yang mengucapkan âLa ilaha illallah wahdan ahadan somada lam yattakhiz sohihbatan wala walada, wa lam yakun lahu kufuwan ahadâ 10 kali, dicatatkan pahalanya 40 juta, masya-ALLAH.â
Ujar PU Salman, walaupun status hadis itu daif, tetapi ia masih boleh diamalkan dalam konteks kelebihan amalan.
3. Doa untuk seluruh orang beriman
Menurut PU Salman, amalan ketiga disifatkan sebagai yang paling besar ganjarannya kerana pahalanya setara dengan bilangan umat Islam yang hidup di dunia.

REBUTLAH peluang pahala akhirat yang tidak ternilai itu. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
âIni lagi dahsyat, bilion-bilion pahala (iaitu) hadis (yang dinyatakan) dalam kitab Majmuk Az-Zawaid dengan sanad yang baik dan hasan; âSesiapa yang minta ampun kepada seluruh orang Islam, orang beriman lelaki atau perempuan, dicatatkan pahalanya sekadar bilangan orang beriman yang wujud.
âJadi dia minta ampun untuk seluruh orang beriman lelaki dan perempuan, pahalanya bilion-bilion kerana jumlah orang beriman sekarang lebih 1 bilion, mungkin lebih 2 bilion,â jelas beliau.
Justeru, PU Salman menyeru umat Islam untuk merebut peluang pahala akhirat yang tidak ternilai itu.
âAmalkan tiga amalan ini, kita dapat pahala sejuta atau lebih, malahan yang ketiga tadi amalannya sampai bilion-bilion.
âJadi rebut peluang ini untuk kita dapat sesuatu yang kekal di akhirat kelak,â titipnya.