Red Bull 'panaskan enjin' buru keajaiban buat Verstappen

Red Bull 'panaskan enjin' buru keajaiban buat Verstappen

Austin: Ketua pasukan Red Bull, Laurent Mekies, yang mengambil alih tampuk kepimpinan selepas pemecatan Christian Horner pada Julai lalu, berkata beliau yakin pasukannya kini bersedia untuk membantu Max Verstappen memburu kejuaraan pemandu Formula Satu (F1) kelimanya.

Mekies menjelaskan bahawa beliau bukan meramalkan Verstappen akan menjuarai gelaran itu, tetapi percaya juara dunia empat kali itu bersama pasukan mempunyai prestasi yang cukup baik untuk memenangi mana-mana daripada enam perlumbaan terakhir musim ini.

Verstappen, yang kini di tangga ketiga keseluruhan, ketinggalan 63 mata di belakang pendahulu siri, Oscar Piastri dari pasukan McLaren, manakala rakan sepasukan Piastri, Lando Norris, berada di tempat kedua dengan perbezaan 22 mata.

Ia memerlukan kebangkitan luar biasa untuk Verstappen menutup jurang besar itu.

“Saya rasa adil untuk dikatakan bahawa kami kini mempunyai potensi yang cukup pada jentera untuk bersaing di kebanyakan litar selepas ini.

“Ini tidak bermakna kami akan menang, tetapi jika kami dapat memanfaatkan sepenuhnya kemampuan jentera pada sesuatu litar, kami percaya kami mampu bersaing untuk kemenangan.

“Ia juga tidak bermakna kami akan menang setiap hujung minggu perlumbaan, atau tidak akan ditewaskan langsung, tetapi kami sepatutnya berada dalam kelompok utama yang berjuang untuk kemenangan,” kata Mekies.

Mekies, yang dikenali sebagai seorang yang berperwatakan tenang, berjaya menyuntik semula semangat dalam pasukan Red Bull dengan siri keputusan positif termasuk dua kemenangan dan dua tempat kedua sejak cuti “musim panas” Ogos lalu sekali gus mengembalikan Verstappen dalam persaingan memburu gelaran dunia di penghujung musim.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top