sukan@hmetro.com.my
Alor Setar : Wakil skuad bola sepak wanita dari utara, Red Eagles Soccer Club (RESC) memiliki strategi terbaik untuk menghadapi cabaran lebih hebat pada pusingan separuh akhir Liga Wanita Nasional (LWN) yang akan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Subang Jaya pada 24 Oktober ini.
Kedudukan RESC pada tangga keempat liga dengan pungutan 10 mata melalui 10 perlawanan memberi sinar terbaik dalam meneruskan cabaran separuh akhir menentang Sabah FA yang kini mengungguli carta dengan 26 mata sebaik menamatkan aksi kumpulan semalam.
Ketua Jurulatih RESC Firdaus Azid berkata, skuadnya yang berkedudukan empat terbaik dalam carta liga kini memberi tumpuan bagi menghadapi cabaran sengit daripada tiga lagi pasukan teratas liga iaitu Sabah FA, Selangor FC dan Kelana United FC yang dianggap skuad-skuad pilihan ke pentas final kejohanan ini.
“Walaupun kami bukan dianggap pasukan pilihan atau ‘favourite’ dalam saingan separuh akhir ini, namun kami memiliki tekad yang tinggi dan tidak mudah menyerah kalah meskipun akan berdepan tiga pasukan besar dalam kejohanan ini.
“Impian dan fokus kami kini adalah mahu melangkah ke pentas akhir dan itu yang kami sematkan dalam minda setiap pemain walau apa jua rintangan yang akan ditempuhi dalam saingan separuh akhir itu nanti.
“Bagi kami, sasaran yang kami letakkan ini tidak mustahil dalam impian setiap pasukan yang mahukan kejayaan. Biar aksi sebenar dalam tempoh permainan itu sendiri yang akhirnya akan memberi jawapannya dan kami berharap sasaran kami ini menjadi kenyataan,” katanya.
Firdaus turut memaklumkan skuadnya yang rata-rata di wakili remaja bawah 21 tahun dan turut memilki dua wakil ke skuad kebangsaan iaitu Nornabilah Asmadi (Bella) dan Nur Qaisara Inarah yang berada dalam senarai pemain bersedia, bakal menambahkan lagi motivasi semua pemain dalam pasukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




