Reen Rahim meluat, dakwa drama Melayu rendah darjat wanita

Reen Rahim meluat, dakwa drama Melayu rendah darjat wanita

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pelakon Reen Rahim meluahkan perasaan kurang senangnya terhadap perkembangan industri drama tempatan yang disifatkan tidak berubah sejak dahulu.

Perkara itu diluahkan oleh Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Abdul Rahim, 38, di Threads.

“Jujur cakap… makin lama makin meluat. Drama sekarang macam tidak ada cerita lain. Pusing-pusing kisah penyondol, wanita bodoh dan wanita murah.

“Lima tahun ini macam skrip ‘stuck’ di takuk yang sama. Memang bawa watak jahat itu menyeronokkan, tetapi daripada sudut pandang (POV) sebagai penonton, penatlah melihat cerita perempuan murah dan suami tidak ada pegangan.

“Perempuan bodoh, lelaki bebal. Itu zaman bila punya perempuan? Zaman itu sudah habislah. Sekarang manusia sudah bijak, faham dan ada nilai,” tulisnya.

Reen yang pernah membintangi drama Cinta Jannah berkata, dia bukan marahkan sesiapa, sebaliknya mengakui merindukan naskhah yang mempunyai nilai murni yang tinggi.

Sementara itu, rata-rata pengikut Reen bersetuju dengan kenyataan berkenaan. Seorang pengikutnya berkata, dia gembira apabila ada orang industri sendiri yang berani menyuarakan perkara berkenaan.

“Memang meluat kerana merendahkan darjat perempuan. Macam tiada idea lain sudah. Balik-balik kisah penyondol atau cerita agama sesat yang juga merendahkan wanita. Malay dramas still portraying women being stupid to this day is so sad (Drama Melayu masih memaparkan wanita sebagai bodoh sehingga hari ini amat menyedihkan),” tulisnya.

Dalam pada itu, seorang lagi pengikut memberikan komen mengenai cabaran drama berkualiti yang kadangkala ditolak oleh penonton sendiri.

“Masalahnya apabila drama yang ada kualiti, kamu tidak mahu layan. 13 tahun lepas, punyalah saya kagum Keluarga Iskandar jadi ‘modern family’ versi Malaysia. Tetapi bila tanya kawan-kawan, semua cakap cerita entah apa-apa.

“Sama juga apabila saya tanya ada tengok cerita Bahalol tidak, kawan saya cakap tidak minat. Padahal ‘masterpiece’ itu,” tulisnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top