Reen Rahim Menangis Terima Pengiktirafan Selepas 15 Tahun Dalam Industri

Reen Rahim Menangis Terima Pengiktirafan Selepas 15 Tahun Dalam Industri

Pelakon dan usahawan Reen Rahim membuat luahan penuh emosi ketika menerima anugerah Aktres Paling Dikagumi Malaysia 2025 sempena Anugerah Personaliti Industri dan Usahawan Malaysia 2025 yang berlangsung baru-baru ini.

Menurut Reen, anugerah berprestij itu bukan hanya pengiktirafan atas usahanya, tetapi juga hasil doa dan restu daripada kedua ibu bapa serta keluarga mertuanya yang sentiasa memberikan sokongan, termasuk suaminya, Hazim Zainal.

“Saya tak pernah diangkat dan dihargai selama 15 tahun saya dalam industri. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas penghargaan ini.

“Saya tak sangka acara ini mengangkat nama Noreen Ashikin Abdul Rahim seorang wanita biasa daripada keluarga biasa.

“Saya rasa saya terlalu kerdil untuk bagi ucapan kat depan ini sebab semua orang hebat. Tapi saya nak bagitahu VVIP saya iaitu mak ayah dan mertua saya terima kasih atas doa dan redanya,” katanya sebak.

Turut membanggakan, Reen dan Hazim yang aktif menjalankan perniagaan produk penjagaan diri Reen Rahim Hygiene Wash, turut merangkul anugerah Perniagaan Cemerlang Tahunan 2025 dalam majlis anjuran NiagaTimes itu.

Dalam ucapannya, pelakon yang dikenali menerusi drama Pujaan Hati Kanda itu turut menitipkan harapan agar setiap kejayaan yang diraih menjadikannya insan yang lebih rendah hati.

“Saya nak minta tolong sampaikan dekat semua dekat luar sana dengan reda dan doa ibu bapa, yang bodoh boleh jadi pandai.

“Yang miskin boleh jadi kaya dan yang biasa, boleh jadi luar biasa. Mohon doakan saya dengan suami semoga kami menjadi seseorang yang dikenali.

“Semakin tinggi kami pergi semakin rendah diri kami. Semoga doa yang baik-baik kembali kepada kalian semua,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Reen turut memuat naik momen istimewa bersama suaminya di majlis tersebut menerusi satu hantaran di TikTok yang meraih perhatian ramai.

Untuk rekod, Reen dan Hazim mendirikan rumah tangga pada 24 Disember 2022.

Scroll to Top