Reezal nasihat Zii Jia

Reezal nasihat Zii Jia

helmi.talkah@bh.com.my

PUTRAJAYA: Tidak tinggi bila dipuji dan tidak rebah bila dikeji!

Itu nasihat Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican kepada jaguh perseorangan lelaki, Lee Zii Jia yang diharapkan dapat mengekalkan semangat jitu yang tinggi dalam dirinya bagi terus melakar kejayaan buat negara.

Sambil mengakui bangga dengan kejayaan dilakar pemain berusia 23 tahun itu selepas menjuarai saingan Seluruh England bulan lalu, namun Reezal berharap Zii Jia tidak terus dibuai dengan pencapaian berkenaan.

“Pencapaian sekarang ini kita raikan tetapi jangan keterlaluan sehingga tersasar kepada fokus utama. Saya harapkan Zii Jiia dan begitu juga Pearly (Tan) dan (M) Thinaah mempunyai semangat yang kuat.

“Orang puji macam mana pun, dia tidak berasa tinggi kerana dia mahu lebih lagi dan bila orang keji dia tidak rebah kerana dia boleh bangkit semula,” katanya ketika sidang media selepas bertemu Zii Jia di Kementerian Belia dan Sukan di sini, hari ini.

Beliau turut bertemu beregu wanita negara, Pearly-Thinaah yang muncul juara Terbuka Switzerland, awal bulan lalu.

Turut hadir, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh dan Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann.

Zii Jia yang kini menghuni ranking nombor lapan dunia menjadi tumpuan selepas merangkul gelaran Seluruh England.

Dia menamatkan penantian empat tahun Malaysia bagi muncul juara acara perseorangan lelaki selepas kali terakhir dimenangi legenda negara, Datuk Lee Chong Wei pada 2017.

Reezal mengakui kagum dengan semangat juang tinggi ditunjukkan Zii Jia ketika aksi final Seluruh England, bulan lalu.

Katanya, perwatakan yang ditunjukkan pemain berusia 23 tahun itu membuktikan dia tidak gentar berdepan mana-mana pemain.

“Ketika dihubungi dia beritahu, ‘Saya main kaw kaw Datuk Seri’.

“Semangat ‘kaw’ dia ni lain macam, dia lawan sampai habis sama macam Pearly dan Thinaah.

“KJ (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin) antara yang pertama mesej saya kata semangat juang yang ditampilkan Zii Jia ini lain macam walaupun berdepan pemain seperti (Viktor) Axelsen” katanya.

Beliau berkata, Zii Jia memiliki beberapa kelebihan yang boleh dimanfaatkan dan BAM perlu segera meningkatkan tahap permainannya kerana cara permainannya sudah mula dikaji negara lain.

“Zii Jia ada kelebihan dari segi daya ketahanan, ketangkasan dalam gelanggang selain smash yang kuat dan saya harap dia akan menjadi lebih baik lagi selepas ini.

“Dia juga memiliki ketinggian, handsome pun handsome tapi dia kata dia belum ada girlfriend (teman wanita) lagi,” katanya sambil berseloroh.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top