Nahas bas meragut 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik Isnin lalu membuka mata banyak pihak yang memberikan pandangan mengenai penambahbaikan yang perlu dilakukan.
Sama ada sembang kedai kopi, komen di media sosial atau mesyuarat rasmi, semuanya terarah kepada bagaimana insiden seperti itu boleh dicegah daripada berulang lagi.
Penolong Pengarang Berita YUSMIZAL DOLAH ALING mendapatkan aktivis keselamatan jalan raya DATUK MOHAMMAD HISHAM SHAFIE untuk mengulas mengenai perkara itu dalam Kafe Ahad minggu ini.
Banyak cadangan diberikan kepada kerajaan susulan kemalangan maut di Gerik. Boleh Datuk ulas?
Sepanjang 2024, Malaysia mencatatkan purata 1,724 kemalangan jalan raya setiap hari, dengan 14 kematian setiap hari. Tetapi kemalangan kali ini bukan sahaja menyayat hati, malah membuka mata kita semua terhadap keperluan tindakan yang lebih menyeluruh dan tuntas. Cadangan-cadangan yang dikemukakan baik daripada pakar, pertubuhan masyarakat mahupun orang awam perlu dilihat sebagai suara keprihatinan.
Namun kita tidak boleh hanya bertindak secara reaktif selepas tragedi berlaku. Sudah tiba masanya kita melakukan reformasi menyeluruh dalam aspek keselamatan jalan raya, termasuk perancangan prasarana, pemantauan teknikal kenderaan, dan pemerkasaan undang-undang. Keselamatan yang membabitkan nyawa rakyat tidak boleh dikompromi walau sesaat.
Pemasangan lampu, garisan jalan dan besi penghadang antara yang dicadangkan. Pada pandangan Datuk?
Langkah-langkah ini bukan sekadar cadangan, tetapi keperluan minimum bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya, khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti laluan Gerik–Jeli. Statistik menunjukkan jalan gelap, kurang papan tanda, dan ketiadaan penghadang adalah antara faktor utama kemalangan maut. Kerajaan, melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) dan agensi pelaksana perlu mengutamakan kawasan sebegini dalam peruntukan Rancangan Malaysia. Kita tidak boleh menunggu tragedi berlaku sebelum bertindak. Keselamatan jalan bukan kemewahan, ia satu keperluan asas buat semua rakyat di Malaysia ini.
Di sana sini ramai yang menyalahkan pemandu bas. Bagaimana sesuatu kerosakan boleh dikesan awal?
Sikap menyalahkan pemandu secara tergesa-gesa adalah tidak adil dan tidak profesional. Yang lebih penting ialah kita melihat kepada sistem. Dalam industri pengangkutan awam, tanggungjawab tidak boleh diletakkan di bahu pemandu semata-mata. Syarikat pengendali wajib memastikan kenderaan diselenggara mengikut jadual yang ketat, bukan sekadar memenuhi syarat atas kertas. Kita perlu wujudkan sistem pemantauan berasaskan data seperti fleet management system, pemantauan brek automatik (brake sensors), dan audit digital oleh pihak berkuasa. Barulah kita mampu mengesan masalah sebelum ia meragut nyawa.
Adakah cukup dengan menggantung lesen atau permit syarikat bas yang terbabit dalam tragedi itu?
Penggantungan lesen adalah langkah permulaan, tetapi jika kita benar-benar serius mahu mencegah tragedi berulang, maka tindakan kita mesti sampai ke akar umbi. Kita perlu audit penuh terhadap syarikat terbabit dari SOP operasi, latihan pemandu, jadual rehat, jadual perjalanan setiap pemandu hingga tahap integriti pentadbiran dalaman. Jika didapati mereka mengabaikan piawaian keselamatan, bukan sekadar lesen digantung, malah pengurusan perlu dihadapkan ke muka pengadilan. Kita tidak boleh biarkan nyawa rakyat menjadi taruhan kepada kelalaian pihak tertentu.
Segerakan semua projek baik pulih jalan adalah wajar bagi meningkatkan keselamatan serta jalan yang rosak boleh menyebabkan kemalangan. Mempercepat baik pulih dapat mengurangkan risiko kemalangan dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan. Memastikan jalan raya dalam keadaan baik penting untuk manfaat keselamatan, ekonomi, dan kualiti hidup masyarakat.
Nasihat Datuk kepada netizen yang membuat spekulasi dalam kes ini?
Dalam saat genting seperti ini, kita perlu utamakan empati dan tanggungjawab sosial. Keluarga mangsa sedang melalui saat paling sukar dalam hidup mereka. Spekulasi tanpa asas dan komen melulu di media sosial bukan sahaja boleh menyakitkan, malah berpotensi mengganggu siasatan. Saya menyeru kepada semua pengguna media sosial jadilah warganet yang bijaksana. Jika mahu membantu, salurkan doa, beri sokongan kepada keluarga mangsa dan desak perubahan melalui saluran yang betul. Keselamatan nyawa rakyat semasa di atas jalan raya adalah tanggungjawab bersama-sama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




