Reformasi Proses Pengurusan Permanent Resident (PR) untuk Staf Akademik di Malaysia

Kuala Lumpur: Malaysia telah lama menjadi destinasi utama bagi tenaga kerja asing berkepakaran tinggi, termasuk dalam bidang akademik. Namun, isu pemprosesan status Penduduk Tetap (Permanent Resident, PR) untuk staf akademik luar negara masih menjadi cabaran besar. Proses yang memakan masa bertahun-tahun, bahkan lebih daripada satu dekad, sering menjadi penghalang utama bagi negara untuk menarik dan mengekalkan bakat akademik terbaik. Oleh itu, reformasi terhadap sistem pengurusan PR perlu dilakukan bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam bidang pendidikan tinggi dan penyelidikan.

Pada masa ini, untuk memperoleh status PR di Malaysia, seseorang perlu memenuhi beberapa syarat asas seperti tinggal di negara ini untuk jangka waktu tertentu, memiliki rekod bersih daripada jenayah, dan menyumbang kepada ekonomi atau masyarakat. Bagi staf akademik luar negara, mereka selalunya telah memenuhi syarat-syarat ini, tetapi masih menghadapi proses birokrasi yang sangat panjang dan tidak menentu. Oleh itu, Malaysia perlu memperkenalkan mekanisme pemprosesan PR yang lebih pantas bagi tenaga akademik berkepakaran tinggi, dengan tempoh pemprosesan yang tidak melebihi tiga bulan.

Salah satu isu utama dalam sistem PR Malaysia adalah tempoh pemprosesan yang sangat lama. Ramai pemohon PR, termasuk tenaga akademik yang telah menyumbang secara signifikan kepada institusi pendidikan di Malaysia, menghadapi ketidakpastian kerana permohonan mereka mengambil masa bertahun-tahun, bahkan ada yang melebihi satu dekad. Situasi ini menyebabkan ramai tenaga akademik berbakat memilih untuk berpindah ke negara lain yang menawarkan proses PR yang lebih pantas dan mesra.

Untuk memastikan hanya individu yang benar-benar berkualiti mendapat status PR, beberapa syarat perlu dipenuhi diantaranya termasuk tempoh tinggal minimum di Malaysia, biasanya antara 5 hingga 10 tahun, serta sumbangan signifikan kepada sektor akademik dan penyelidikan. Selain itu, mereka juga harus menunjukkan tahap integrasi yang baik dalam masyarakat Malaysia dan memiliki rekod perkhidmatan yang cemerlang.

Bagi memastikan hanya tenaga akademik berkualiti tinggi yang mendapat manfaat dari reformasi ini, kriteria pemilihan harus berasaskan prestasi dan kepakaran, sebagai contoh, individu yang memiliki kepakaran dalam bidang tertentu yang masih kurang di sini, individu yang telah menerbitkan artikel dalam jurnal berimpak tinggi, memiliki paten dalam bidang sains dan teknologi, atau menerima pengiktirafan antarabangsa perlu diberi keutamaan dalam proses pengurusan PR. Selain itu, universiti tempatan juga boleh diberikan kuasa untuk mencalonkan tenaga akademik luar negara yang mereka anggap sebagai aset penting. Dengan adanya penilaian dalaman ini, kerajaan dapat memastikan bahawa individu yang dipilih benar-benar memberi sumbangan bermakna kepada perkembangan akademik Malaysia.

Salah satu cabaran utama dalam proses permohonan PR seperti telah disebutkan sebelum ni adalah tempoh yang sangat lama yang diperlukan, bahkan kadangkala lebih daripada 10 tahun. Banyak individu yang memohon status PR terpaksa menunggu selama bertahun-tahun tanpa kepastian. Proses ini tidak hanya memberi tekanan kepada pemohon, tetapi juga merugikan negara yang berpotensi kehilangan bakat asing yang sangat diperlukan. Khususnya dalam sektor akademik, di mana Malaysia kekurangan staf pengajar berkelayakan tinggi dalam beberapa bidang, pemendekan tempoh permohonan PR ini adalah langkah yang amat diperlukan. Staf akademik yang berkemahiran tinggi dan berpengalaman dapat membantu meningkatkan kualiti pengajaran dan penyelidikan di universiti tempatan. Oleh itu, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mempercepatkan proses permohonan PR bagi staf akademik, dengan mengambil kira keperluan negara untuk menarik dan mengekalkan tenaga pengajar yang berkualiti.

Walaupun proses PR masih dianggap lambat dan membebankan, hakikatnya, banyak negara lain telah menawarkan kemudahan proses PR untuk warganegara asing. Negara seperti Singapura, Australia, dan Kanada menawarkan kemudahan ini untuk menarik bakat asing dalam pelbagai bidang, termasuk akademik dan teknologi. Malaysia perlu melihat kepada contoh negara-negara ini untuk meningkatkan daya saingnya dalam pasaran global dan mengurangkan kebimbangan yang timbul akibat proses permohonan yang memakan masa.

Secara keseluruhannya, reformasi dalam pengurusan PR untuk staf akademik luar negara bukan sahaja akan membantu Malaysia mengekalkan bakat akademik terbaik, tetapi juga akan memperkukuh kedudukan negara sebagai hab pendidikan tinggi di rantau ini. Dengan mempercepatkan proses PR kepada tempoh tidak lebih daripada tiga bulan, Malaysia dapat menarik lebih ramai tenaga akademik berkualiti tinggi yang akan menyumbang kepada pembangunan ilmu, inovasi, dan daya saing global negara. Oleh itu, sudah tiba masanya Malaysia mempertimbangkan dasar yang lebih proaktif dalam memberi PR kepada golongan ini demi kepentingan jangka panjang negara.

Oleh:
Dr. Yohan Kurniawan
Pensyarah Kanan
Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling
Fakulti Pendidikan
Universiti Malaya
Email: yohan@um.edu.my

 

 

Scroll to Top