
Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei. Foto AFP
TEHERAN – Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, mendakwa rejim Zionis hampir mengalami kehancuran sepenuhnya akibat serangan balas Iran, namun berjaya diselamatkan dengan campur tangan Amerika Syarikat (AS).
Beliau menyifatkan serangan udara AS ke atas kemudahan nuklear Iran sebagai tindakan menunjuk-nunjuk oleh Donald Trump yang gagal mencapai matlamat ketenteraan.
Khamenei memuji keupayaan tentera Iran menembusi pertahanan Israel dan menyerang kawasan strategik termasuk Pangkalan Udara Al-Udeid milik AS.
“Pasukan bersenjata Iran berjaya menembusi pertahanan berlapis Israel dan menyasarkan kawasan ketenteraan serta bandar utama,” kata Khamenei dalam satu mesej video yang disiarkan pada Khamis.
Beliau menyifatkan keupayaan balas Iran sebagai tamparan hebat terhadap musuh yang selama ini mendominasi rantau.
Merujuk kepada serangan udara AS ke atas kemudahan nuklear Iran, Khamenei menyatakan bahawa tindakan tersebut gagal mencapai matlamat ketenteraan sebenar.
“AS menyerang tapak nuklear tetapi tidak mencapai apa-apa. Trump hanya menunjuk-nunjuk,” kata Khamenei, merujuk kepada tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang menurutnya hanya bertujuan memulihkan imej politiknya.
Sebelum itu, dalam hantaran di akaun rasmi X, beliau turut mengucapkan tahniah atas apa yang disebutnya sebagai “kemenangan terhadap rejim Zionis palsu”. – Awani