Rekod 11,000 ahli radio amatur

Rekod 11,000 ahli radio amatur

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Radio Amatur Melayu Semenanjung Utara Malaysia (ASTRA) Wilayah Tengah merekodkan lebih 11,000 ahli radio amatur berlesen di negara ini dan jumlah itu dijangka terus bertambah setiap tahun berdasarkan minat yang semakin meningkat.

Pengurus ASTRA Wilayah Tengah merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Mohamad Yusuff Wahid berkata, peningkatan berkenaan menunjukkan hobi radio amatur atau dikenali sebagai radio Ham semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, radio amatur juga dikenali sebagai radio ham adalah hobi dan perkhidmatan komunikasi yang membolehkan individu untuk membina, menguji, dan berkomunikasi melalui gelombang radio dua hala tanpa tujuan komersial.

“Aktiviti ini memerlukan lesen dikeluarkan pihak berkuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berikutan ia membabitkan komunikasi, uji kaji teknikal serta bantuan semasa kecemasan.

“Ia juga platform untuk pengendali radio dua hala untuk berhubung di seluruh dunia melalui pelbagai mod seperti suara, teks, dan imej. Keahliannya di Malaysia, tiada angka tepat kerana setiap tahun bertambah. Anggaran melebihi 11,000 ahli radio amatur berlesen,” katanya.

Beliau yang memegang call sign 9W2hyy berkata, minat terhadap hobi itu biasanya lahir daripada keinginan mencari kenalan baharu sama ada di dalam atau luar negara.

“Ada yang menyertai kursus anjuran MCMC, persatuan atau kelab radio amatur. Kursus selalunya berlangsung sehari hingga dua hari dengan bayaran yuran minimUM,” katanya.

Mohamad Yusuff berkata, selain menjadi hobi, radio amatur terbukti berperanan besar dalam membantu pasukan keselamatan dan penyelamat ketika bencana.

“Antaranya ketika tragedi runtuhan bangunan Highland Towers di Bukit Antarabangsa pada 1993, banjir besar di Kelantan pada 2014, operasi menyelamat di perairan Selat Melaka dan misi mencari orang hilang,” katanya.

Menurutnya, pengendali radio amatur sering bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan polis.

“Operator radio bukan kerjaya bergaji, tetapi lebih kepada sukarela. Ia hobi yang pada masa sama memberi peluang menyumbang tenaga untuk masyarakat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top