am@hmetro.com.my
Ranau: Kegembiraan empat remaja mandi di Sungai Liwagu, Kampung Paginatan, di sini, petang tadi bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka lemas.
Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 15 tahun dilaporkan tiba-tiba meminta bantuan ketika berada di bahagian sungai yang dalam, namun tiga rakannya gagal menyelamatkan kerana tidak mahir berenang.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.06 petang sebelum anggota bergegas ke lokasi.
“Mangsa kemudian ditemui kira-kira 10 meter dari lokasi kejadian pada jam 5.30 petang dengan bantuan penduduk kampung sebelum dibawa ke Klinik Paginatan untuk rawatan lanjut.
“Seterusnya mangsa diberikan bantuan pernafasan (CPR) selama kira-kira satu jam oleh pegawai perubatan, namun tidak berjaya diselamatkan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 6.42 petang dan mayat kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Ranau untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, siasatan di tempat kejadian adalah sungai di kawasan Kampung Paginatan, di sini.
“Jarak lokasi kejadian dengan rumah mangsa kira-kira 400 hingga 500 meter. Pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang kecederaan lain pada tubuh mangsa.
“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




