PARIS: Pentas akhir Terbuka Perancis bakal menyaksikan pertembungan hebat antara bintang remaja Amerika Syarikat (AS), Coco Gauff dan pemain No.1 dunia, Iga Swiatek.
Gauff yang baru berumur 18 tahun adalah pemain termuda bakal beraksi di final Terbuka Perancis dalam tempoh 21 tahun selepas mempamerkan aksi terbaik di kejohanan itu.
Di separuh akhir semalam, dia menewaskan pemain Itali, Martina Trevisan 6-3, 6-1 dengan mempamer penguasaan penuh permainan.
Terdahulu, Swiatek mara ke final selepas pilihan utama itu menewaskan Daria Kasatkina dari Russia 6-2, 6-1, sekali gus melebarkan rekod kemenangannya kepada 34 perlawanan.
Bintang tenis Poland itu yang juga juara 2020 tidak pernah tumpas sejak Februari lalu dan menyamai rekod kemenangan Serena Williams yang dilakukan pada 2013.
“Saya agak terkejut dan tidak dapat menggambarkan perasaan saya sekarang ini. Sejujurnya saya tidak berasa gementar pada perlawanan hari ini yang mana ia agak mengejutkan.
“Swiatek berada pada prestasi terbaik ketika ini dan saya tidak berdepan tekanan bertemunya. Di atas kertas dia sememangnya pemain pilihan utama kejohanan kali ini.
“Saya hanya akan mempamerkan aksi terbaik di pentas final nanti. Bagi saya aksi final di Grand Slam apa-apa sahaja boleh berlaku,” kata Gauff bagi mengulas pertemuan dengan Swiatek.

Dalam pada itu katanya, pertembungan dengan Trevisan di separuh akhir adalah satu keputusan di luar jangkaan dan dia memberikan segalanya seperti di puncak prestasi.
“Saya pernah bertembung dengan Trevisan dua tahun lalu dan ketika saya tewas kepada pemain Itali itu. Saya tahu betapa sukar menghadapinya,” katanya.
Dalam pada itu, bekas bintang tenis Sepanyol, Alex Corretja menjangkakan Swiatek akan berdepan tugas sukar untuk menumpaskan Gauff di perlawanan akhir nanti.

Katanya, Swiatek sememangnya berada di prestasi terbaik ketika ini namun begitu, Gauf juga mempamerkan aksi mengagumkan dalam empat perlawanan terakhirnya.
“Swiatek berada di tempat yang sepatutnya sekarang. Dia bergelut dalam beberapa perlawanan tetapi bangkit di separuh akhir sekali gus menunjukan dia bersedia.
“Dia bakal menentang Gauff yang akan menjadi sangat sukar untuk ditewaskan. Dia (Gauff) menukar arah, terutama dengan pukulan depan dan dia bergerak dengan baik serta konsisten,” katanya. – AGENSI