Wiesbaden, Jerman: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun mengejutkan ramai apabila dilaporkan ‘mencuri’ sebuah bas untuk menghantar teman wanitanya ke sekolah pada Jumaat lalu.
Memetik laporan OddityCentral, remaja terbabit dipercayai menyusup masuk ke depoh bas, memperoleh kunci utama salah sebuah kenderaan dan memandu keluar tanpa disedari sesiapa.
Kejadian itu dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV), namun kakitangan awalnya menyangka bas berkenaan diambil oleh salah seorang pemandu mereka.
Walaupun bas itu diambil kira-kira jam 6 pagi, polis hanya dimaklumkan pada lewat petang hari yang sama kerana syarikat berkenaan pada mulanya percaya pemandu tersalah mengambil bas dan hanya menyedari ia dicuri selepas membuat semakan dengan semua kakitangan.
Dengan bantuan sistem kedudukan sejagat (GPS), polis berjaya mengesan bas berkenaan di Karlsruhe, kira-kira 130 kilometer dari Wiesbaden.
Kereta peronda terkejut apabila mendapati seorang remaja berada di kerusi pemandu. Dia dikatakan baru sahaja menjemput teman wanitanya yang berusia 14 tahun dan dalam perjalanan pulang ke Wiesbaden.
“Kami masih belum mengetahui bagaimana dia memperoleh kunci itu dan mengapa mampu memandu bas itu dengan begitu baik,” kata jurucakap polis wanita.
Siasatan lanjut sedang dijalankan dan remaja terbabit kini berdepan pelbagai pertuduhan termasuk mencuri dan memandu tanpa lesen. Mujurlah tiada kecederaan dilaporkan dan bas berkenaan dipulangkan kepada pemiliknya tanpa sebarang kerosakan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




