Remaja dibunuh bapa kerana enggan padam TikTok

Remaja dibunuh bapa kerana enggan padam TikTok
Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ditembak mati oleh bapanya sendiri selepas enggan memadam akaun TikTok. Foto AFP

Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ditembak mati oleh bapanya sendiri selepas enggan memadam akaun TikTok. Foto AFP

RAWALPINDI – Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ditembak mati oleh bapanya sendiri selepas enggan memadam akaun TikTok, kata polis Pakistan pada Jumaat.

Kejadian berlaku di Rawalpindi dekat Islamabad pada Selasa dan suspek kini ditahan.

Menurut polis, keluarga mangsa pada awalnya cuba menggambarkan kejadian itu sebagai bunuh diri.

“Bapanya minta dia padam akaun TikTok. Bila dia tolak, suspek tembak mangsa,” kata jurucakap polis.

Polis menyifatkan kes itu sebagai pembunuhan atas nama maruah keluarga, satu isu yang sering berlaku di Pakistan, terutama terhadap wanita dan remaja perempuan.

Kes ini muncul hanya sebulan selepas seorang bintang TikTok, Sana Yousaf, 17, turut dibunuh selepas menolak cinta seorang lelaki.

TikTok sangat popular di Pakistan, namun sering disekat kerana dikaitkan dengan kandungan tidak bermoral dan LGBT.

Walaupun ramai wanita menjana pendapatan melalui aplikasi itu, hanya 30 peratus wanita Pakistan memiliki telefon pintar, jauh lebih rendah berbanding lelaki.

Di Balochistan, seorang lelaki turut mengaku membunuh anaknya, 14, kerana video TikTok yang dianggap memalukan keluarga.

Keganasan seperti ini mencetus kebimbangan terhadap keselamatan wanita yang aktif di platform digital di negara konservatif itu. -AFP

Scroll to Top