Remaja didakwa serang guru tidak lagi berstatus pelajar aktif – Pihak sekolah

Remaja didakwa serang guru tidak lagi berstatus pelajar aktif – Pihak sekolah

razis@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Remaja didakwa mencederakan seorang guru di sebuah sekolah antarabangsa di Kuching, Sarawak pagi tadi, tidak lagi berstatus pelajar aktif institusi itu.

Sekolah berkenaan dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pelajar terbabit kini berada di dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes berkenaan dalam siasatan polis dan pihak sekolah akan terus memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berkaitan.

“Guru yang cedera dibawa ke hospital dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan. Setakat ini, beliau semakin pulih dan tidak mengalami kecederaan kritikal.

“Sekolah amat menghargai keberanian serta ketenangan guru kami ketika insiden itu dan mendoakan pemulihannya berjalan lancar sehingga sembuh sepenuhnya,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan sekolah itu lagi, susulan insiden berkenaan, ia segera mengaktifkan protokol tindak balas kecemasan dengan guru dan kakitangan bertindak pantas memaklumkan kejadian kepada polis serta perkhidmatan ambulans.

Sekolah itu berkata, pelajar di dalam kelas yang terjejas berjaya mengosongkan kawasan berkenaan dan tiada kecederaan lain dilaporkan.

Jelas pihak sekolah, sesi persekolahan ditamatkan lebih awal sebagai langkah berjaga-jaga atas nasihat polis, manakala ibu bapa segera dimaklumkan supaya mengambil anak masing-masing.

Sekolah berkenaan mengesahkan akan dibuka semula pada Khamis selepas mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa berkaitan, dengan menyemak protokol keselamatan dan mempertingkat langkah keselamatan melalui rundingan dengan pihak terbabit.

“Berkuat kuasa serta-merta, tiga anggota polis bantuan akan ditempatkan di kawasan sekolah dan pemeriksaan keselamatan bersesuaian akan dijalankan ketika memasuki kawasan sekolah.

“Pihak sekolah turut meneliti langkah keselamatan jangka panjang yang lebih menyeluruh untuk kawasan sekolah,” kata kenyataan itu.

Sekolah itu berkata, pasukan kepimpinan kanan sekolah juga akan mengadakan perhimpunan pelajar bagi memberikan penjelasan mengenai insiden berkenaan, selain memberikan jaminan serta menangani kebimbangan mereka dengan sewajarnya termasuk memberi sokongan kaunseling.

Ia turut memohon orang ramai supaya tidak membuat spekulasi, menyebarkan maklumat belum disahkan atau menyebarkan khabar angin yang boleh mengganggu siasatan.

“Kami juga meminta supaya privasi pihak yang terbabit dihormati ketika pihak berkuasa berkaitan menjalankan tugas,” katanya.

“Kami turut merakamkan penghargaan kepada guru, kakitangan dan pelajar atas tindakan pantas serta sikap profesional mereka dalam membantu menjaga kesejahteraan warga sekolah ketika berdepan situasi berkenaan.

Terdahulu media melaporkan, pelajar lelaki berusia 16 tahun sebuah sekolah antarabangsa sempat membuat rakaman video sebelum berlakunya insiden seorang guru cuba merampas objek tajam daripadanya, pagi tadi.

Video didakwa dirakam pelajar terbabit sebelum kejadian turut tersebar di media sosial, sekali gus meraih perhatian ramai, bagaimanapun kandungan dan tujuan sebenar rakaman masih dalam siasatan pihak berkuasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top