Remaja dikhuatiri dibaham buaya ketika menyelam lepaskan jala tersangkut

Remaja dikhuatiri dibaham buaya ketika menyelam lepaskan jala tersangkut

am@hmetro.com.my

Kuching: Seorang remaja lelaki dikhuatiri dibaham buaya ketika menjala ikan di Sungai Seterap, Pantu di Sri Aman, hari ini.

Mangsa, Taufik Ezany Abdullah, 15, dilaporkan hilang selepas menyelam untuk melepaskan jala yang dipercayai tersangkut pada kayu di dasar sungai sebelum gagal timbul semula.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.35 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman tiba di lokasi pada jam 2.05 petang dan memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 2.30 petang.

Menurutnya, berdasarkan maklumat ibu mangsa, Puteh Bujang, ketika kejadian seramai lapan individu termasuk mangsa menaiki empat perahu untuk menjala ikan di sungai berkenaan.

“Jala yang digunakan dipercayai tersangkut pada kayu di dasar sungai dan mangsa kemudian menyelam untuk melepaskan jala itu, namun gagal timbul semula selepas beberapa ketika,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bapa saudara mangsa kemudian memaklumkan kejadian itu kepada sepupu mangsa dan mereka mengesyaki remaja terbabit diserang buaya selepas terlihat seekor reptilia berkenaan timbul tidak jauh dari lokasi mangsa dipercayai hilang.

Operasi SAR dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) serta penduduk kampung menggunakan sebuah bot JBPM, sebuah bot APM dan 15 perahu milik penduduk.

Pencarian tertumpu di permukaan air dalam radius empat kilometer ke hulu dan satu kilometer ke hilir dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

Bagaimanapun, sehingga operasi ditangguhkan pada jam 5.30 petang, mangsa masih belum ditemukan dan operasi SAR akan disambung semula esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top