Remaja ditahan, curi sos lada hitam dan mayonis

Remaja ditahan, curi sos lada hitam dan mayonis

am@hmetro.com.my

Jempol: Remaja berusia 15 tahun ditahan polis selepas mencuri dua paket sos lada hitam dan dua paket mayonis berjumlah RM41 dari sebuah pasar raya di Bandar Seri Jempol.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Norhisham Mustapar berkata kejadian berlaku pada 7 malam Jumaat lalu.

Katanya suspek sebelum itu ditahan oleh pengawal keselamatan berkenaan selepas pekerja pasar raya berkenaan mendapati suspek kerap keluar masuk sambil membawa sebuah bag sandang.

“Sepasang suami isteri yang mengaku sebagai ibu bapa suspek meminta pengawal keselamatan membebaskan remaja itu sebelum berlaku pergelutan.

“Suami isteri dan suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki kenderaan jenis Toyota Avanza,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, suspek ditahan jam 1 tengah hari ini.

Norhisham berkata siasatan mendapati suspek masih bersekolah dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai dirakam percakapan.

Menurutnya, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuri dalam bangunan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top