Remaja ditemui mati, polis jalankan siasatan lanjut

Remaja ditemui mati, polis jalankan siasatan lanjut

am@hmetro.com.my

Sungai Buloh: Remaja perempuan berusia 13 tahun ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di sebuah rumah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mangsa pada 6.27 petang, sebelum anggota digerakkan ke lokasi untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun katanya, pegawai perubatan Hospital Sungai Buloh yang berada di tempat kejadian mengesahkan remaja tempatan itu sudah meninggal dunia.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematiannya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, setakat ini, polis sudah mengambil keterangan tiga saksi untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Seksyen itu memperuntukkan kesalahan terhadap mana-mana individu yang mempunyai pemeliharaan seseorang kanak-kanak yang mengabaikan atau mendedahkan kanak-kanak berkenaan kepada kecederaan fizikal atau emosi.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi rm50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Mohd Hafiz menegaskan kes berkenaan masih dalam siasatan dan menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan prosiding siasatan.

Menurutnya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Amirul Amin Shukor di talian 013-6695290.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top