am@hmetro.com.my
Kulim: Keseronokan enam sahabat mandi di kawasan Sungai Sedim, Kampung Baru Jemerli, Merbau Pulas di sini, berakhir tragedi apabila seorang daripada ditemukan lemas, hari ini.
Mangsa, Muhammad Haziq Danish Mohd Hafizul Khairi, 16, ditemukan lemas akibat hanyut dibawa arus deras ketika cuba menyelamatkan rakannya.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam jam 4.34 petang memaklumkan terdapat mangsa lemas di lokasi.
Beliau berkata, difahamkan mangsa bersama lima rakannya ke kawasan Sungai Sedim itu untuk bermandi manda.
“Ketika sedang mandi, mangsa dikatakan cuba menyelamatkan salah seorang rakannya yang hampir lemas.
“Namun rakan mangsa berjaya memegang dahan pokok berhampiran manakala mangsa hanyut dibawa arus deras.
“Rakan-rakan mangsa meminta tolong dari penduduk kampung untuk menyelamatkan rakan mereka, sebelum ditemui tersangkut pada tunggul kayu kira-kira 50 meter dari tempat mangsa mandi, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkifli berkata, dengan bantuan penduduk kampung, mangsa berjaya dibawa naik ke tebing sungai dan menghubungi talian 999.
Beliau berkata, anggota penyelamat cuba memberi bantuan pernafasan (CPR) namun mangsa tidak memberi sebarang tindak balas.
Zulkifli berkata, mayat dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




