am@hmetro.com.my
Kiulu: Remaja lelaki ditemukan lemas dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Kampung Rangalau Lama, Jalan Kiulu – Tamparuli di sini, petang semalam.
Dalam kejadian pada jam 4.30 petang itu, mangsa yang berusia 16 tahun ditemui penduduk kampung namun disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital Tuaran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Kurong Ak Beki berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 4.49 petang.
Katanya, seramai tiga anggota dikerah ke lokasi kejadian sejauh 25 kilometer (km) berserta sebuah kenderaan utiliti pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max.
“Mengikut laporan awal, mangsa dikatakan terjatuh ke dalam sungai dan tidak timbul di permukaan sungai.
“Rakan mangsa yang melihat kejadian kemudiannya bertindak memaklumkan perkara itu kepada orang awam yang berada di sekitar lokasi,” katanya dihubungi.
Kurong berkata, sebaik ketibaan pasukan bomba, mangsa berjaya ditemui orang awam dan pihak polis kemudian menghantar mangsa ke Hospital Tuaran untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, pasukan bomba seterusnya memeriksa sekitar lokasi bagi mengelak punca bahaya lain manakala operasi ditamatkan jam 6.30 petang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




