am@hmetro.com.my
Shah Alam: Remaja lelaki menempuh detik hitam apabila menjadi mangsa gangguan seksual seorang siak masjid ketika menumpang keretanya, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, polis menerima laporan daripada mangsa berusia 15 tahun pada 3.41 petang.
“Hasil siasatan mendapati remaja itu menaiki kereta lelaki warga tempatan berusia 44 tahun dari stesen bas Bukit Sentosa ke sebuah masjid untuk bertemu dengan rakannya.
“Mangsa mengenali suspek semasa menumpang di masjid terbabit sejak Disember tahun lalu,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.
Ibrahim berkata, hasil siasatan mendapati suspek yang bekerja di sebuah masjid di Bukit Sentosa bertindak melakukan perbuatan itu semasa menaiki keretanya, selain menghantar mesej berbaur lucah ke telefon bimbit mangsa.
Bertindak atas maklumat, beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor menahan suspek pada 12.30 tengah malam kelmarin di rumahnya di Bukit Sentosa, Rawang.
“Semakan mendapati lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod lampau. Dia direman selama tujuh hari sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau dihukum dengan sebatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




