Remaja lemas dihanyut arus deras ketika mandi bersama 10 rakan

Remaja lemas dihanyut arus deras ketika mandi bersama 10 rakan

am@hmetro.com.my

Kulim: Seorang pelajar lelaki tingkatan empat ditemui lemas ketika berkelah dan mandi bersama 10 orang rakannya di Sungai Lubuk Gua, Hutan Lipur Sedim di sini hari ini.

Mangsa, Muhammad Aiman Faris Abdullah, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakti, Tasek Gelugor di Pulau Pinang dipercayai dihanyutkan arus deras ketika sedang mandi bersama rakan-rakannya.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, berdasarkan maklumat salah seorang rakan mangsa, kesemua mereka iaitu seramai 11 orang dari Tasek Gelugor dipercayai datang ke kawasan perkelahan itu pada jam 9.50 pagi untuk berkelah dan mandi di situ.

Beliau berkata, ketika sedang mandi, secara tiba-tiba arus air deras kemudian menghanyutkan rakan mereka (Muhammad Aiman Faris) dan mereka gagal menyelamatkannya.

“Rakan mangsa kemudian meminta bantuan penduduk kampung serta menghubungi talian kecemasan MERS 999 untuk mencari mangsa.

“Anggota polis di bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim menerima panggilan kecemasan pada jam 10.25 pagi yang memaklumkan ada mangsa dikhuatiri lemas di sungai berkenaan.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi Tech turut dimaklumkan ke tempat kejadian selain ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkifli berkata, selain itu penduduk kampung berhampiran turut membantu mencari dan mengesan mangsa di lokasi Sungai Sedim itu.

Beliau berkata, mangsa ditemui pada jam 12.04 tengah hari dan berjaya dibawa naik ke tebing oleh pasukan Bomba dan dibantu penduduk kampung.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top