Remaja 'lesapkan' lebih RM318,000 duit bapa untuk melancong, memancing

Remaja 'lesapkan' lebih RM318,000 duit bapa untuk melancong, memancing

Singapura: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun sanggup mengkhianati kepercayaan bapanya dengan mengeluarkan lebih SDG25,000 (kira-kira RM87,250) daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (CPF) milik lelaki itu.

Menurut The Straits Times, remaja berkenaan turut membuat pinjaman melebihi SDG68,000 (kira-kira RM237,320) daripada polisi insurans bapanya.

Selepas wang dimasukkan ke akaun bank bapanya, dia memindahkan SDG91,149 (kira-kira RM318,110) pula ke akaun miliknya melalui aplikasi PayNow.

Dalam pada itu, remaja yang kini berusia 17 tahun itu, mengaku bersalah di mahkamah pada 3 September lalu atas pertuduhan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer.

Bagaimanapun, menurut media tempatan, identiti remaja terbabit tidak boleh didedahkan kerana dia masih bawah umur ketika kesalahan dilakukan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Foo Yang Yi berkata, sejak 2023, mangsa sering meminta bantuan anaknya untuk membuat pembayaran premium insurans dan menyemak baki CPF.

Situasi itu menyebabkan remaja terbabit mengetahui butiran log masuk dan jumlah wang simpanan bapanya.

Pada Ogos 2024, suspek mengakses akaun CPF bapanya menggunakan telefon bimbit lelaki itu dan membuat dua pengeluaran tanpa kebenaran berjumlah lebih SDG25,000 (kira-kira RM87,250).

Dia turut mengakses akaun insurans bapanya melalui telefon bimbit sendiri dan membuat sekurang-kurangnya tiga pinjaman melebihi SDG68,000 (kira-kira RM237,320).

Tidak berhenti setakat itu sahaja, selepas wang daripada pinjaman insurans dan pengeluaran CPF dimasukkan ke akaun bank bapanya, remaja itu memindahkan lebih SDG91,000 (kira-kira RM317,700) ke akaunnya.

Perbuatannya itu terbongkar apabila sepupu mangsa membantu menyemak polisi insurans sebelum bapanya membuat laporan polis pada Februari.

Susulan itu, remaja terbabit mengaku menggunakan wang berkenaan untuk beberapa percutian memancing dan melancong ke Korea Selatan pada Ogos 2024.

Difahamkan, tiada bayaran balik dibuat, namun remaja itu berjanji memulangkan wang selepas bekerja.

Mahkamah menangguhkan hukuman ke Oktober selepas meminta laporan kesesuaian percubaan dan latihan pemulihan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top