mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Remaja lelaki berusia 15 tahun ditahan selepas disyaki mencederakan penyelia pengawal keselamatan menggunakan pisau di hadapan sebuah pasar raya mini di Razak City Residensi, Cheras, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sebelum sepasukan anggota dari Balai Polis Salak South menjalankan tindakan lanjut.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 49 tahun bertindak menegur suspek yang dalam keadaan mabuk kerana membuang tin arak merata-rata di kawasan berkenaan.
“Suspek yang tidak berpuas hati kemudian bertindak agresif dengan melibas pisau sehingga menyebabkan mangsa luka di bahagian kiri perut.
“Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan suspek di lokasi kejadian pada hari sama jam 10.45 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
“Hasil semakan mendapati suspek tidak bersekolah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan juga mendapati suspek negatif dadah,” katanya.
Mohd Rosdi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
Katanya, suspek direman selama sehari semalam sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk arahan lanjut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




