am@hmetro.com.my
Shah Alam: Remaja lelaki berusia 15 tahun maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Kilometer 2, Lebuhraya Shah Alam (KESAS) arah Shah Alam menghala Klang, awal pagi hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Kamalariffin Aman Shah berkata, dalam kejadian jam 3.35 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal Honda RS 150R dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh di tengah jalan.
“Remaja berkenaan kemudian dirempuh dua motosikal lain yang datang dari arah sama.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi penunggang yang terbabit dipercayai melarikan diri sejurus kemalangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, dua penunggang berkenaan belum dikenal pasti dan kumpulan itu dipercayai berlumba ketika kejadian.
“Polis meminta mangsa lain atau saksi kejadian supaya tampil membantu siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




