surayaroslan@mediaprima.com.my
Ampang: Pelajar tahfiz mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kakitangan sebuah pusat pengajian tahfiz di Hulu Langat, tahun lalu.
Pesalah juvana itu yang berusia 17 tahun (ketika kejadian) yang juga pelajar di institusi sama membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Normaizan Rahim.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 18 Jun untuk tarikh jatuh hukum selepas menerima laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa melakukan tiga perbuatan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun lapan bulan (ketika kejadian) dengan maksud seksual.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah asrama pusat tahfiz di Hulu Langat pada 2.30 petang, pertengahan April tahun lalu.
Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah seksyen 14 akta sama yang boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya S Kirthana menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan satu tarikh untuk laporan akhlak.
Peguam, A Rahman Mohd Nasir yang mewakili pesalah juvana itu memohon jaminan rendah sekitar RM3,000 hingga RM4,000 dengan mengambil kira pendapatan bapa sekitar RM5,000 sebulan yang bekerja sebagai pengajar tahfiz.
“Pesalah juvana satu kes yang berbeza dengan hukuman lain yang masih memerlukan kasih sayang daripada ibu bapa.
“Dia berumur 17 tahun dan belum bekerja, sepatutnya melanjutkan pelajaran di pusat tahfiz di Kuala Kubu Bharu namun dibatalkan selepas direman polis,” katanya.
Mendengar hujah kedua-dua pihak, Normaizan kemudian menetapkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.
Sebelum ini, media melaporkan
seorang pelajar pusat tahfiz trauma selepas mendakwa menjadi mangsa serangan seksual anak kepada kakitangan pusat pengajian agama.
Kejadian itu terbongkar apabila rakan mangsa yang mengetahui insiden berkenaan menceritakan kepada ibunya sebelum wanita terbabit memaklumkan kepada bapa pelajar tahfiz terbabit.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, pengadu mendakwa kejadian berlaku pada April tahun lalu apabila mangsa diserang oleh anak kakitangan pusat tahfiz berkenaan di dalam bilik air.
From: SR
© New Straits Times Press (M) Bhd




