Remaja mengaku lakukan amang seksual dalam kelas

Remaja mengaku lakukan amang seksual dalam kelas

am@hmetro.com.my

Seremban: Remaja mengaku salah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan di dalam kelas sebuah sekolah di sini, dua tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 17 tahun sembilan bulan ketika kejadian, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut dua pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh didapati terbabit melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun lima bulan (ketika kejadian), 3.05 petang, di dalam kelas sebuah sekolah di Seremban, pada 22 November 2023.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(b) dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan.

Peguam, Shameera Abdul Hamid memohon mahkamah mempertimbangkan untuk mengguna pakai Akta Kanak-Kanak 2017 dengan mengambil kira umur anak guamnya ketika kejadian.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan. Sebutan semula kes untuk laporan akhlak ditetapkan pada 20 Jun ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top