Remaja 'mild autism', Hadi Aiman hilang sejak Sabtu lalu

Remaja 'mild autism', Hadi Aiman hilang sejak Sabtu lalu

am@hmetro.com.my

Melaka: “Mak, abah tak marah, baliklah Hadi. Kami semua rindu dan tunggu kamu,” rayu Khairiman Khazali selepas anak ketiganya, Hadi Aiman, 18, yang juga remaja ‘mild autism’ (autisme ringan), hilang sejak semalam.

Hadi Aiman dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah di Taman Ayer Keroh Height 1, di sini, tanpa membawa sebarang dokumen pengenalan diri.

Khairiman, 51, berkata, kehilangan anaknya disedari apabila dia mendapati anak tiada di bilik manakala pintu rumah tidak berkunci.

“Hadi keluar tanpa kad pengenalan, telefon dan dompet malah duit simpanan pun dia tinggalkan.

“Dia siap tulis mesej memberitahu kata laluan e-wallet dan telefonnya. Saya syak dia mungkin dalam tekanan,” katanya dihubungi di sini.

Menurutnya, Hadi Aiman yang memperoleh keputusan baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sedang menunggu penempatan ke institusi pengajian, namun kursus ditawarkan kurang sesuai dengan keadaannya.

“Dia ada mild autisme, dalam keadaan tenang dia ‘ok’ sahaja, tapi dalam keadaan tertekan dia akan mudah sensitif dan tertekan.

“Ada sedikit isu, keputusan SPM dia okay dan dapat banyak tempat (tawaran belajar), cuma kebanyakan kursus tidak sesuai dengan dia.

“Dia suka benda yang membabitkan komputer dan kerja tangan tapi kursus ditawarkan perlu banyak komunikasi, jadi dia tertekan,” katanya.

Katanya, sejak kehilangan itu, dia bersama keluarga mencari di sekitar kawasan taman dan masjid berdekatan namun belum menemui sebarang petunjuk.

“Kami juga edar risalah di sekitar Terminal Bas Melaka Sentral, hospital dan pasar raya, tapi masih tiada berita.

“Ada orang kata nampak macam dia di Hospital Melaka, tapi bila saya semak, tiada nama anak saya atau pesakit tidak dikenali kerana tidak membawa kad pengenalan,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh, jam 8.11 pagi semalam.

Menurutnya, Hadi Aiman tidak membawa wang tunai atau pengenalan diri, membuatkan mereka sekeluarga bimbang keselamatan dirinya.

“Ini kali pertama dia lari dari rumah dan semua dokumen peribadi penting ditinggalkan. Saya tak tahu dia makan minum macam mana sekarang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, remaja terbabit berketinggian 170 sentimeter, berat badan 50 kilogram, kurus dengan pakaian terakhir baju-T biru gelap, berseluar track hitam, berselipar dan berambut pendek.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Masli Ali di talian 016-3388846 atau mana-mana balai polis berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top