Remaja perempuan 14 tahun dilapor hilang selepas ke bazar Ramadan

Remaja perempuan 14 tahun dilapor hilang selepas ke bazar Ramadan

BENTONG: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman Chegar Medang di sini pada Rabu lalu untuk ke bazar Ramadan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, laporan kehilangan Puteri Nor Aishah Ahmad Sulaiman dibuat oleh ibunya pada pukul 11.13 pagi semalam.

Menurutnya, kali terakhir ibu mangsa berusia 38 tahun itu melihat anaknya ialah sekitar pukul 6.45 petang ketika remaja berkenaan keluar menuju ke bazar Ramadan.

“Puteri Nor Aishah berkulit coklat, mempunyai ketinggian kira-kira 157 sentimeter dengan tubuh agak gempal. Ketika keluar, dia memakai baju dan seluar jeans hitam serta berselipar biru,” katanya dalam kenyataan di sini.

Zaiham menegaskan, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan remaja tersebut diminta segera menghubungi balai polis berhampiran.

“Maklumat juga boleh disalurkan terus ke Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong di talian 09-2231999,” ujarnya. – UTUSAN

Scroll to Top