IPOH: Tindakan berani seorang remaja perempuan berusia 14 tahun untuk bertemu buat kali pertama dengan kenalan lelaki yang baru dikenalinya, berakhir tragedi apabila dia dirogol lelaki terbabit.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kejadian berlaku selepas mangsa diambil suspek berusia 20 tahun itu dari rumah keluarganya di Lenggong kira-kira pukul 10 malam, semalam untuk keluar makan.
Katanya, suspek kemudian membawa mangsa ke Taiping sebelum singgah di sebuah rumah di Padang Rengas ketika dalam perjalanan pulang.
“Sebaik sahaja sampai rumah tersebut, mangsa telah diajak masuk ke dalam rumah sebelum diperkosa oleh suspek.
“Kejadian itu terbongkar selepas mangsa yang dihantar pulang oleh lelaki terbabit, disoal oleh abangnya yang membawa kepada pengakuan remaja itu,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, laporan polis telah dibuat mangsa pagi tadi dan dia telah dihantar ke unit
obstetrik dan ginekologi (O&G) untuk pemeriksaan perubatan.
Katanya, berdasarkan siasatan, mangsa baharu dua bulan berkenalan dengan lelaki itu menerusi rakannya dan sering berhubung melalui aplikasi WhatsApp.
“Dalam kejadian itu, mangsa baru pertama kali bertemu dengan suspek. Kita telah mengenal pasti lelaki itu dan usaha sedang dijalankan bagi mengesannya untuk siasatan lanjut,” katanya. – UTUSAN




