Remaja sertai geng kongsi gelap 360 untuk perlindungan

Remaja sertai geng kongsi gelap 360 untuk perlindungan

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Demi mendapatkan perlindungan, remaja sanggup direkrut kumpulan kongsi gelap 360.

Situasi ini terbongkar selepas siasatan dilakukan terhadap 14 remaja, termasuk pelajar, yang ditahan dalam serbuan di lokasi dipercayai tempat upacara angkat sumpah kumpulan kongsi gelap, Jumaat lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, 14 remaja itu adalah antara 61 individu yang ditahan di Salak Selatan, Sungai Besi, di sini.

Beliau berkata, siasatan mendapati lima daripada remaja terbabit masih bersekolah sementara sembilan lagi sudah berhenti belajar.

“Remaja ini ditawarkan perlindungan dan keselamatan jika menyertai kumpulan itu, malah mereka turut dijaga kebajikan dan akan membantu jika dalam kesusahan terutamanya jika dipukul di sekolah,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Katanya, dalam serbuan itu, polis turut menahan individu yang memiliki rekod orang dikehendaki bersabit kes mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Jumaat lalu, Harian Metro melaporkan penahanan 14 remaja itu dalam serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Kontinjen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Ketika serbuan, seramai 61 individu dipercayai bersiap sedia untuk merekrut ahli baharu, termasuk remaja berusia antara 14 hingga 17 tahun untuk menyertai pertubuhan disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap 360.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top