Remaja sesat cari lembu ditemukan selamat

Remaja sesat cari lembu ditemukan selamat

am@hmetro.com.my

Melaka: Remaja orang kurang upaya (OKU) pembelajaran yang dilapor sesat ketika keluar mencari lembu di kawasan hutan Kampung Permatang Pasir, Alai, di sini, sejak 6 petang kelmarin ditemukan selamat selepas lebih 32 jam kehilangannya.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka, Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, mangsa, Muhamad Aidil Asyraf Fadli, 15, ditemukan selamat pada 2.08 pagi tadi.

Menurutnya, mangsa dijumpai dalam keadaan terbaring di kawasan semak di belakang rumah penduduk iaitu 600 meter dari Pos Kawalan Bomba (PKB).

“Ketika dijumpai mangsa dalam keadaan lemah serta tidak mampu bergerak dan diberi rawatan awal oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan sepenuhnya jam 3.52 pagi tadi.

Terdahulu, pasukan SAR menghentikan operasi pada 7 malam tadi selepas pencarian dilakukan di lokasi membabitkan keluasan 2.4 hektar gagal menjumpai mangsa.

Mohd Hafidzatullah berkata, 31 anggota terbabit operasi berkenaan termasuk 14 anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (Storm), lima anggota Polis Diraja Malaysia dan empat dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta dibantu penduduk kampung.

Katanya, turut digunakan adalah dua unit anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan satu dari Polis Diraja Malaysia.

“Operasi dibahagikan kepada empat sektor dan pencarian diperluas sehingga ke kawasan sungai dan turut membabitkan pemantauan dari udara menggunakan satu unit dron bomba.

“Pasukan SAR turut membuat pencarian di dua buah kolam buatan dengan mengepam keluar airnya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Halim Abas memaklumkan mangsa kini dirawat di Jabatan Kecemasan Hospital Melaka dan keadaannya stabil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top