mdroji@bh.com.my
Kuching: Remaja lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam sungai dalam di Kampung Kolong Sungai Tengah, di sini, Jumaat lalu, ditemukan lemas hari ini.
Mayat mangsa, Fahril Zaquan Hasbullah, 17, ditemui oleh orang awam pada jam 11.20 pagi kira-kira 2.7 kilometer dari Pos Kawalan Operasi Bomba (PKOB).
Mangsa kemudian dibawa ke jeti Masjid Kampung Tengah Sungai, sebelum keluarga membuat pengesahan dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian jam 4.32 petang, Jumaat lalu.
Sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya digerakkan ke lokasi.
Ketika kejadian mangsa dikatakan sedang bermain bersama seorang rakannya di tebing sungai sebelum terjatuh ke dalam air.
Mangsa kemudiannya dilaporkan hanyut dibawa arus sungai yang deras, manakala rakannya gagal menyelamatkannya sebelum memaklumkan kejadian kepada penduduk setempat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




