Remaja warga Britain dipercayai masih berada dalam negara

Remaja warga Britain dipercayai masih berada dalam negara

PETALING JAYA: Remaja warga Britain, David Balisong, 17, yang dilaporkan hilang selepas memasuki Malaysia pada 7 Jun lalu dipercayai masih berada di dalam negara.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkataX pihaknya menerima satu laporan polis berkaitan kehilangan mangsa di Balai Polis Main Terminal Building (MTB), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, siasatan awal mendapati remaja berkenaan telah memasuki Malaysia melalui KLIA.

“Siasatan lanjut sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti segala maklumat yang boleh membantu usaha pengesanan dan penyelesaian kes ini.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai kes orang hilang. Gambar remaja terbabit turut dilampirkan untuk tujuan hebahan dan bantuan orang awam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menyalurkannya kepada pegawai penyiasat, Inspektor Hazuin Jan Abdul Hamid dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA menerusi talian 017-736 9187.

Beliau turut menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

“Kerjasama daripada masyarakat amatlah dihargai bagi membantu menyelesaikan kes ini,” tambahnya.

Terdahulu, Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) mengesahkan seorang remaja lelaki warga Britain yang dilaporkan hilang di negara asalnya, masuk ke Malaysia pada 7 Jun lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, semakan mendapati remaja tersebut, David Balisong, 17, masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8.29 pagi, hari terbabit.

Menurutnya, maklumat itu diperoleh hasil pemeriksaan rekod kemasukan di semua pintu masuk antarabangsa.

“Berdasarkan rekod Jabatan Imigresen Malaysia, remaja berkenaan sememangnya masuk ke Malaysia pada tarikh dan masa dinyatakan,” katanya.- UTUSAN

Scroll to Top