am@hmetro.com.my
Shah Alam: Seorang remaja warga Britain, David Balisong, 17, yang dilaporkan hilang pada 7 Jun lalu, dikatakan datang ke negara ini untuk bercuti.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, hasil semakan juga mendapati, visa pelancong remaja itu akan tamat esok selepas tiga bulan memasuki negara ini.
“Siasatan masih diteruskan dan kita lihat penama (orang hilang) memasuki Malaysia pada 7 Jun lalu.
“Berdasarkan visa ketibaan menunjukkan ada masa tiga bulan sebelum tamat tempat tempoh dan tinggalkan Malaysia. Kita menjangkakan 4 September tarikh tamat visa.
“Difahamkan, dia datang sini untuk bercuti. Insya-Allah kalau tiada apa-apa kepada mangsa, dia akan meninggalkan negara ini dan kita akan dapat kesan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.
Beliau bagaimanapun menegaskan, pihaknya masih meneruskan usaha mengesan remaja terbabit sepanjang dia berada di negara ini berpandukan kepada maklumat disampaikan oleh ibu mangsa.
“Kita sentiasa membuat susulan berdasarkan maklumat disalurkan pelbagai pihak. Sehingga kini, masih belum ditemukan keberadaannya,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, polis menyiasat kehilangan seorang remaja 17 tahun dari Britain yang dilaporkan hilang selepas secara senyap-senyap menaiki penerbangan ke Malaysia.
Balisong, pelajar cemerlang dari Cheadle, Greater Manchester, meninggalkan rumah pada awal pagi 6 Jun dan memberitahu abangnya yang dia mempunyai urusan di sekolah.
Sebaliknya, remaja itu seorang diri menaiki penerbangan dari Manchester ke Kuala Lumpur. Sejak itu, dia mematikan telefon dan tidak membalas emel.
Remaja itu sempat membuat pesanan melalui emel pada perhubungan terakhir dengan ibunya pada 9 Julai lalu.
Antara kandungan emel itu adalah luahan Balisong supaya keluarganya tidak bimbang dan cuba mencarinya, selain memohon maaf kerana melakukan perkara ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




