Reman penyanyi Bea Sobar Bea dilanjutkan sehingga 6 Ogos depan

Reman penyanyi Bea Sobar Bea dilanjutkan sehingga 6 Ogos depan

NARATHIWAT, THAILAND: Tahanan reman ke atas Penyanyi lagu Bea Sobar Bea Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail atau Eda Ezrin bersama suami serta empat lagi rakan dilanjutkan sehingga 6 Ogos depan.

Memetik laporan portal tempatan apakhabartv.com Mahkamah Wilayah Narathiwat hari ini telah meluluskan permohonan pendakwa raya untuk melanjutkan tempoh memfailkan rayuan terhadap keputusan membebaskan kesemua individu terbabit.

“Kelulusan itu adalah yang terakhir dan tiada rayuan (tambahan tempoh reman) dibenarkan selepas ini.

“Mahkamah telah mempertimbangkan permohonan yang dibuat oleh pihak pendakwa raya hari ini yang memohon tempoh memfailkan rayuan dilanjutkan untuk kali terakhir,” katanya.

Menurut portal itu, tiada lagi permohonan untuk melanjutkan tempoh reman selepas ini dan pendakwa raya hanya boleh memfailkan permohonan ke Mahkamah Rayuan atau kesemua tertuduh dibebaskan.

Menurut jurucakap mahkamah, kebenaran lanjutan reman kali kelima itu adalah hak mahkamah dalam mempertimbangkan kes dadah berkenaan dan tidak boleh dipertikaikan.

Terdahulu, Mahkamah membenarkan permohonan pertama daripada pendakwa raya untuk melanjutkan tempoh reman enam rakyat Malaysia itu bermula 6 Mac hingga 6 April, kedua (6 April hingga 6 Mei), ketiga (6 Mei hingga 6 Jun), keempat (10 Jun hingga 6 Julai) dan kelima (6 Julai hingga 6 Ogos).

Mengikut undang-undang Thailand, pendakwa raya dibenar mengemukakan empat kali permohonan bagi melanjutkan tempoh memfailkan rayuan.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Eda Ezrin, suaminya dan empat rakan yang dibebaskan daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda oleh Mahkamah Narathiwat di sini, perlu kembali semula ke penjara.

Kesemua mereka perlu kembali ke Penjara Wilayah Narathiwat bagi membolehkan pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dalam tempoh sebulan hingga empat bulan.

Sekiranya, tiada rayuan Eda Ezrin, suaminya, Mohd. Affendi Ahmad, 35, bersama, Eridieka Mohd. Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, akan dibenarkan pulang.

Scroll to Top